Home » Langit Terbuka » Isu penubuhan Jakim dah diterangkan pada G25

Isu penubuhan Jakim dah diterangkan pada G25

Pertemuan kerajaan dengan G25 telah diadakan seawal Julai 2018 kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - Foto FB

KUANTAN – Isu berhubung penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diterangkan secara terperinci kepada kumpulan bekas penjawat awam (G25).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata pertemuan dengan G25 berlangsung pada awal penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekitar Julai 2018.

Selain itu, katanya, beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof juga sekali lagi bertemu dengan wakil G25 sekitar dua bulan lalu berhubung perkara sama.

“Kita sudah pun berjumpa dan menerangkan jawaban kepada setiap persoalan mereka, tetapi mereka terus-menerus dengan pandangan sendiri walaupun perkara yang dibangkitkan sudah dibincangkan.

“Sebenarnya tiada isu dalam perkara yang mereka utarakan. Saya kira G25 perlu lebih memahami tentang penubuhan Jakim dan sebagainya… ada banyak silap persepi yang harus ditangani dan kita telah cuba untuk menerangkan,” katanya.

Beliau menambah penglibatan bersama perlu diperkasakan untuk G25 memahami isu tersebut menerusi perspektif yang berbeza daripada pandangan mereka.

Media melaporkan dakwaan G25 bahawa penubuhan Jakim dan Majlis Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) tidak mengikut perlembagaan kerana tiada peruntukan untuk agensi berkenaan ditubuhkan di peringkat nasional.

Fuziah juga mengulangi komitmen kerajaan PH untuk mempertahankan perlembagaan termasuk Islam sebagai agama rasmi Persekutuan selain memperkenalkan konsep Rahmatan Lil Alamin (rahmat untuk semua) dalam mewujudkan kehidupan harmoni dalam kalangan rakyat pelbagai agama dan bangsa di Malaysia.- Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *