Home » Langit Terbuka » Isu van jenazah orang Islam di Kuala Nerang diselesaikan dengan baik

Isu van jenazah orang Islam di Kuala Nerang diselesaikan dengan baik

Atas dasar tanggungjawab dan meringankan beban orang bukan Islam yang terpaksa menyewa kenderaan dari luar apabila melibatkan kematian ahli keluarga mereka, pihak hospital Kuala Nerang telah menggunakan van jenazah orang Islam di situ sebagai gunasama, jelas Pengarah Kesihatan Kedah - Foto Hiasan Says.com

ALOR SETAR – Isu penggunaan van jenazah orang Islam yang terpaksa digunakan oleh bukan Islam di Hospital Kuala Nerang dekat sini, telah dapat diselesaikan dengan baik.

Ketika menjelaskan isu itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, van mayat bagi kegunaan orang bukan Islam di hospital itu telah rosak dan tidak ekonomi untuk dibaiki.

Katanya, berikutan itu, atas dasar tanggungjawab dan meringankan beban orang bukan Islam yang terpaksa menyewa kenderaan dari luar apabila melibatkan kematian ahli keluarga mereka, pihak hospital telah menggunakan van jenazah orang Islam di situ sebagai gunasama.

“Oleh itu, tulisan ayat suci pada van jenazah (orang Islam) telah dipadamkan. Namun, ekoran daripada pandangan awam dan penduduk setempat atas tindakan ini, pihak pengurusan hospital setelah berbincang dengan Jabatan Kesihatan negeri dan membuat keputusan serta-merta untuk kembalikan van ini hanya untuk kegunaan orang Islam.

“Manakala untuk tempoh sementara, mayat bukan Islam akan menggunakan van dari Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Jitra sebagai langkah interim sementara menunggu peruntukan yang telah dimohon, diluluskan pihak Kementerian Kesihatan,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau diminta mengulas rasa tidak puas hati penduduk khususnya orang Islam di Kuala Nerang berikutan ayat suci tertera pada van jenazah kaum itu dipadamkan.

Isu ini turut tular di laman-laman sosial dan mendapat reaksi pelbagai pihak, selain mengaitkan tindakan tersebut dengan politik.

Tambah Norhizan, tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan Hospital Kuala Nerang itu hanya atas dasar tanggungjawab dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada yang memerlukan.

Kata beliau, sekiranya tindakan itu mendatangkan kesulitan, ia adalah dikesali. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *