Home » Langit Terbuka » JAKIM bawa kepada Majlis Raja-Raja

JAKIM bawa kepada Majlis Raja-Raja

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, tidak sepatutnya semangat muhibah yang dibina sejak puluhan tahun lalu dirobohkan hanya kerana beberapa isu berbangkit. - Foto FMT

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyediakan kertas kerja dalam masa terdekat berhubung isu penghinaan terhadap Islam yang akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri, berkata JAKIM diarahkan untuk merangka kertas kerja itu dalam masa terdekat.

“Umum mengetahui insiden yang berlaku baru-baru ini yang membabitkan sensitiviti keagamaan. Pihak berkuasa telah menjalankan siasatan dan kita sedia menanti keputusannya,” katanya dalam kenyataan pada 15 Jun.

Minggu lalu, media melaporkan kes lima penghantar makanan dan seorang pelanggan yang ditahan berhubung kes pergaduhan di kawasan Sungai Way, Petaling Jaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menggunakan perkataan melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 147 kanun sama kerana menggunakan kekerasan dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Mengulas lanjut, Zukifli berkata, tidak sepatutnya semangat muhibah yang dibina sejak puluhan tahun lalu dirobohkan hanya kerana beberapa isu berbangkit.

“Malaysia bukanlah baru berumur setahun jagung. Kita sudah hidup lebih 60 tahun bersama. Jika diumpamakan seperti manusia, sudah memutih uban di kepala. Amat luas ilmu dan pengalamannya.

“Namun, isu yang dipandang remeh itulah kadangkala boleh mencetuskan api yang amat marak. Hal inilah yang memerlukan kebijaksanaan dalam mempertimbangkan isu dan permasalahan,” katanya.

Beliau turut berkata, sikap bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree) adalah amalan terbaik dalam menguruskan sebarang bentuk perbezaan.

“Sebagaimana bola dan kedai mamak boleh menyatukan semua bangsa tanpa mengira latar belakang politik, pendidikan dan warna kulit. Saya fikir kita juga ada pelbagai bentuk alasan untuk terus hidup dalam semangat muhibah, daripada memilih untuk berseteru dan menimbulkan provokasi pada prinsip-prinsip utama agama,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli turut menzahirkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa teguh dan prihatin dalam memelihara kesucian agama.

“Terima kasih atas keprihatian NGO yang sentiasa berusaha memelihara kesucian agama Islam dan dalam masa sama mengukuhkan hubungan persefahaman antara kaum dan agama,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *