Home » Langit Terbuka » JAKIM latih pengamal perubatan Islam, banteras tok bomoh

JAKIM latih pengamal perubatan Islam, banteras tok bomoh

JAKIM mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Perawatan Islam Darussyifa-Darul Quran dengan melatih mereka yang berminat mengenai kaedah betul pengubatan mengikut cara Islam. - Foto SPA

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius kewujudan ‘tok bomoh’ serta ‘ustaz palsu’ yang mengambil kesempatan ke atas masyarakat dengan mengaut keuntungan atas nama perubatan Islam.

Bagi mengekang kegiatan itu, JAKIM mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Perawatan Islam Darussyifa-Darul Quran dengan melatih mereka yang berminat mengenai kaedah betul pengubatan mengikut cara Islam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Paimuzi Yahya berkata, seramai 80 peserta terpilih bakal menerima ijazah perubatan dan perubatan Islam dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Sabtu ini.

Katanya, majlis penyampaian ijazah itu serentak dengan Majlis Penganugerahan Darul Quran akan diadakan di Dewan Muktamar Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Bharu.

“Seadanya pengamal perubatan Islam yang sahih ini, secara tidak langsung kita dapat membasmi “tok bomoh-tok bomoh” atau “ustaz-ustaz palsu” yang suka mengambil kesempatan kepada masyarakat dengan mengaut keuntungan atas nama pengubatan Islam.

“Kursus Perawatan Islam ini merupakan program kerjasama antara Darul Quran dengan Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’),” katanya dalam kenyataan kepada media pada 1 Oktober.

Jelas Paimuzi, kursus itu diadakan supaya menjadi nilai tambah kepada pelajar Darul Quran dengan mengaplikasikan ayat al-Quran yang sudah sedia dihafaz untuk tujuan pengubatan Islam melalui ruqyah syar’iyyah.

Di samping itu, katanya, majlis itu juga ada tiga agenda utama yang lain, iaitu penyampaian Anugerah Kecemerlangan Darul Quran; penyampaian Sijil ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014 bagi Sistem Pengurusan Kualiti serta Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah oleh pihak SIRIM; dan pelancaran buku terbitan Darul Quran bertajuk: Sejarah dan Perkembangan Pendidikan Tahfiz Al-Quran di Malaysia: Edisi 2. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *