KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedia membantu daripada aspek kepakaran berkaitan institusi Islam, latihan, dakwah dan pembangunan komuniti dalam projek pembinaan Pusat Islam Bandar Mandaluyong di Manila, Filipina.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata pihaknya menyokong usaha Muslim Care Malaysia Society (MCM) membangunkan pusat Islam berkenaan bagi memperkasakan pembangunan umat Islam di luar negara.
“JAKIM bersedia menjadi rakan strategik bagi menawarkan pandangan, pengalaman dan kepakaran serta pembangunan institusi pendidikan Islam dan latihan dakwah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pembinaan Pusat Islam Bandar Mandaluyong, di sini, hari ini.
Bandar Mandaluyong yang dikenali sebagai hab perniagaan, kewangan dan perdagangan utama di Manila dianggarkan mempunyai 7,500 umat Islam merangkumi penduduk tempatan berdaftar serta pekerja yang berulang-alik setiap hari.
Beliau berkata, JAKIM percaya pusat Islam berkenaan berpotensi menjadi model pembangunan komuniti Islam yang bukan sahaja memenuhi keperluan masyarakat setempat, malah mengukuhkan hubungan persaudaraan antara Malaysia dan Filipina.
Mohd Ajib berkata, pembabitan JAKIM dalam projek berkenaan adalah sebagai rakan strategik yang menawarkan pandangan, pengalaman serta kepakaran dalam pembangunan institusi Islam, pendidikan, latihan, dakwah dan pengukuhan tadbir urus.
Langkah itu juga, katanya, selaras dengan nilai Malaysia MADANI yang mengutamakan kemanusiaan, ihsan dan kesejahteraan tanpa mengira sempadan geografi.
Projek pembangunan itu dirancang merangkumi pelbagai fasa utama termasuk pengambilalihan tanah, pembinaan dewan solat utama lelaki dan wanita, ruang wuduk, bilik darjah pendidikan, dewan serbaguna serta pusat kaunseling dan koordinasi ekosistem halal.
Pada majlis sama, Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, cadangan pembinaan Pusat Islam Bandar Mandaluyong tercetus selepas pihaknya dimaklumkan mengenai kekangan kemudahan ibadah yang dihadapi komuniti Islam di kawasan berkenaan.
“Ada satu ruang untuk mereka solat yang hanya ruangnya 10 x 10 kaki… boleh muat 25 orang, apabila mereka Solat Jumaat, mereka terpaksa solat di luar,” katanya.
Zulkifli berkata, pusat Islam yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM6 juta itu akan dibangunkan sebagai pusat ibadah, ilmu, dakwah, kebajikan dan pembangunan komuniti Islam di Filipina.
Beliau berkata, MCM mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk sektor korporat, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu bagi menjayakan projek berkenaan.
Katanya, komuniti Islam di Mandaluyong berjumlah 1,854 orang berdasarkan bancian pada 2020, namun pusat itu dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai komuniti Muslim termasuk pekerja dan pelajar di sekitar Metro Manila.
Zulkifli berkata, sepanjang 21 tahun penubuhannya, MCM sudah membina lebih 20 masjid, pusat Islam dan sekolah di seluruh dunia merentasi pelbagai negara seperti Poland, Brazil, Gaza, England, Jepun, New Zealand, Nigeria, Chad, Pakistan, Myanmar dan Kemboja.
Pada masa sama, katanya, pertubuhan itu tidak pernah mengabaikan pembangunan golongan asnaf dalam negara melalui pelbagai projek kebajikan seperti pembinaan rumah Home2Live, telaga tiub dan madrasah.



KOMEN