Home » Wacana » Jangan terpengaruh dengan geng ‘bedal’ haji

Jangan terpengaruh dengan geng ‘bedal’ haji

DALAM penceritaan kisah-kisah zaman dahulu, perkataan ‘Sang’ merujuk kepada haiwan, contohnya Sang Bedal yang sinonim dengan buaya. Ia mungkin kerana cara haiwan yang berusia puluhan juta tahun itu membedal mangsa untuk melemahkannya sebelum secara rakus membahamnya.

Dalam kalangan manusia pun sebenarnya ada yang berperangai seperti itu. Sekarang sudah kelihatan kelibat mereka, lengkap memakai uniform – berjubah dan berkopiah, sambil mulut tidak lepas dari mengucapkan perkataan-perkataan Arab. Cuba selak-selak media sosial dan intai-intai iklan digantung tepi jalan, pasti akan ada perkhidmatan ‘badal haji’.

Adakah betul badal haji atau sebenarnya ‘bedal haji!’. Copywriting mereka cantik – “Jemaah tidak boleh pergi haji tapi boleh buat badal haji, segera hubungi kami…”.

Untuk rekod, Malaysia pada tahun ini menangguhkan pelaksanaan ibadah haji dan Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan 1,000 jemaah sahaja yang terdiri daripada pelbagai warganegara yang berada di negara itu.

Nasihat supaya rakyat negara ini terutama jemaah yang sepatutnya menunaikan haji tahun ini supaya tidak terpengaruh dengan sindiket menawarkan perkhidmatan badal haji itu antara penegasan yang disuarakan oleh panelis dalam program live streaming Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Mutiara Minda bertajuk “2020 Tanpa Ibadah Haji: Redha Dengan Ketentuan”.

Panelisnya ialah Mufti Melaka, Sahibul Samahah Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Pakar Motivasi serta Pengurusan Ibadah Haji, Datuk Haji Md. Daud Che Ngah yang dikendalikan oleh Arif Adzwan Mohd Ali dari Bahagian Khidmat Bakti (Sukarelawan YADIM) YADIM  sebagai moderator.

Mufti Abdul Halim mengingatkan kumpulan sindiket itu supaya takutkan azab Allah, jangan sesekali ambil kesempatan terhadap jemaah yang begitu teruja untuk menunaikan haji.

Selain itu, menurut beliau, terdapat juga kumpulan tertentu yang menawarkan jalan pintas kepada orang ramai untuk menunaikan ibadah haji di negara ini tanpa perlu ke Mekah.

“Mereka mengambil kesempatan dengan mempengaruhi orang ramai bahawa hikmah Covid-19 ialah Allah nak mudahkan urusan dan tak mahu susahkan hamba-Nya. Haji kononnya boleh dibuat di sini tanpa perlu ke Mekah. Ibadah haji adalah ibadah khusus iaitu hanya boleh dilakukan secara eksklusif di Mekah dan pada masa-masa tertentu sahaja. Langsung tidak boleh dilakukan di tempat selain Mekah dan pada waktu-waktu lain,” katanya.

Sementara itu, Daud menarik perhatian dengan menjelaskan bahawa jumlah 1,000 jemaah yang dibenarkan oleh Arab Saudi untuk menunaikan haji itu adalah individu kali pertama menunaikan ibdah berkenaan.

“Saya yang berpengalaman dalam pengurusan haji sejak 1975 amat fasih dengan modus operandi mereka. Saya nak tanya, jika betul boleh buat badal haji, siapa yang akan buatnya. Yang 1,000 tadi adalah kali pertama, bagaimana pula mereka nak buat badal haji untuk orang lain?.

“Sindiket ini kenalkah mereka (1,000 jemaah itu)? Ahli mereka (sindiket) tinggal di sini kerana tidak dibenarkan ke Mekah, jadi siapa pula yang nak buat akad? Bayaran kononnya badal haji itu menarik iaitu antara RM1,500 – RM2,000 dan sesetengahnya turut ditawarkan pakej khatam al-Quran 30 juzuk di Mekah. Sempatkah dalam keadaan kali pertama buat haji dan lepas itu nak khatamkan pula al-Quran untuk orang lain?,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan segelintir jemaah yang terpilih pada tahun ini tetapi telah membatalkan pendaftaran kerana terlalu kecewa, Abdul Halim menenangkan mereka dengan menjelaskan bahawa semua perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Pandemik Covid-19 ini bukannya hanya berlaku di negara ini sahaja tetapi sebaliknya ia adalah ujian Allah yang melanda seluruh dunia termasuk juga di Arab Saudi. Nasihat saya, jangan batalkan pendaftaran, Insya Allah bakal tiba masa untuk jemaah semua. Banyakkan berdoa, Insya Allah, Dia akan mudahkan segala uusan kita semua.

“Apabila Malaysia menunda pemergian jemaah haji bukan bermaksud kita menggugurkan kefarduan haji. Ia berkaitkan rapat dengan salah satu Rukun Haji iaitu ‘istitoah’ (kekuasaan). Kekuatan ini bermaksud aspek keselamatan iaitu jika lebih 30,000 jemaah Malaysia yang pergi dan berhimpun pula dengan berjuta-juta jemaah seluruh dunia ia akan menjangkiti antara satu sama lain.

“Lebih teruk pula bila jemaah Malaysia pulang nanti mereka pula bakal menjangkiti rakyat negara ini!. Perhimpunan umat manusia terbesar di dunia ini bakal mengundang kemudaratan yang lebih besar dan ia menepati Maqasid Syariah iaitu menolak kemudaratan yang lebih besar khususnya melibatkan nyawa,” katanya.

Daud turut menyokong pandangan Abdul Halim sambil mengingatkan jemaah agar banyakkan bersabar, jangan rasa bersalah dan berdosa.

Sambil berseloroh, beliau berkata: “Jangan batalkan (pendaftaran) kerana dalam kubur nanti malaikat akan tanya kenapa dah cukup duit tapi tidak pergi haji. Malaikat tak akan terima alasan kita kononnya tak leh pergi kerana Covid-19, sebaliknya malaikat akan cakap…kamu dah keluarkan duit (batalkan pendaftaran) maknanya memang niat tak mahu pergi…”

Menyentuh kembali geng bedal haji ini, penulis ingin bertanya: “Adakah mereka spesies yang tidak lut dibakar api neraka?”. Mereka yang sanggup menipu orang hendak ke Mekah ini semestinya beragama Islam kerana syarat wajib pengendali agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah dan haji ialah 100 peratus dimiliki oleh Bumiputera beragama Islam. Eloklah sangat, Islam ‘makan’ Islam!

Diingatkan kepada sindiket tidak bertanggungjawab ini, mungkin undang-undang semasa di dunia masih boleh dielak dengan segala strategi licik, tetapi di akhirat kelak, ke mana mereka hendak menyorok?

Ahmad Tarmizi Abdul Rahim ialah mantan Pengarang Meja Agama Utusan Malaysia. Berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan, beliau kini menulis di pelbagai platform

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *