Home » Langit Terbuka » Jawatankuasa khas bincang kuat kuasa perintah lelaki bayar nafkah bekas isteri, anak

Jawatankuasa khas bincang kuat kuasa perintah lelaki bayar nafkah bekas isteri, anak

Rundingan dan kajian sedang dilaksanakan bagi memastikan akta untuk membela nasib bekas isteri menjadi kenyataan. - Foto FB

NILAI – Kerajaan mengadakan rundingan dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan perintah Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadanah dan Nafkah dapat dikuat kuasa dengan sempurna.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata ia bagi memastikan bekas suami melaksanakan perintah atau keputusan mahkamah untuk memberikan nafkah kepada anak dan bekas isteri dengan baik.

Katanya, jawatankuasa khas sudah ditubuhkan dan beberapa perbincangan diadakan bersama kementerian lain dan BNM serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, beliau sebagai penasihat jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar itu sedang berusaha memastikan rundingan berjalan lancar.

“Sebanyak empat hingga lima perbincangan diadakan dan ia menunjukkan perkembangan positif.

“Kini kita sedang berunding dengan pihak berkepentingan seperti BNM dan KWSP untuk mengetahui bagaimana keputusan yang dibuat mahkamah diambil tindakan melalui peruntukan yang ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Solusi Hadanah Mahkamah Syariah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini (26 September).

Turut hadir, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Naib Canselor USIM, Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, persetujuan BNM dan KWSP penting sebelum pindaan akta dapat dilaksanakan bagi membenarkan klausa pembekuan aset atau harta.

“Saya sedar keputusan dibuat mahkamah mengenai hak penjagaan dan nafkah ada kelemahan dari sudut penguatkuasaan terutama membabitkan kepentingan anak serta nafkah kepada bekas isteri.

“Sebab itu apabila rundingan itu berhasil, dia (bekas suami) boleh diheret ke mahkamah, selain harta disita atau dibekukan bagi memastikan keputusan dibuat mahkamah itu efektif,” katanya.

Selain rundingan itu, katanya, jawatankuasa khas terbabit turut dihantar membuat kajian, bertukar pandangan dan pendapat bersama wakil mahkamah keluarga di Australia untuk menambah baik undang-undang syariah sedia ada. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *