Home » Langit Terbuka » Jawi benarkan solat jemaah dan jumat di pekarangan masjid dan surau bermula 3 Julai

Jawi benarkan solat jemaah dan jumat di pekarangan masjid dan surau bermula 3 Julai

JAWI akan mengeluarkan surat kepada pengerusi masjid dan surau di Wilayah Persekutuan untuk memperluaskan kawasan solat bermula Jumaat ini. - NSTP

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan semua majid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan memperluaskan had kapasiti 1/3 jemaah ke luar dewan solat utama seperti pekarangan masjid atau surau dan sebagainya bermula Jumaat ini (3 Julai) .

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata keputusan itu susulan kebenaran solat di pekarangan masjid dan surau yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 26 Jun 2020.

“Kebenaran tertakluk kepada kemampuan ahli jawatankuasa masjid, surau dan surau Jumaat mengambil kira pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menetapkan penjarakan satu meter antara jemaah,” kata Mohd Ajib dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini (30 Jun).

Ketika dihubungi AlHijrah Online, Mohd Ajib berkata pihaknya akan mengeluarkan surat kepada pengerusi masjid dan surau di Wilayah Persekutuan untuk memperluaskan kawasan solat bermula Jumaat ini.

“Saya akan keluarkan surat kepada pengerusi masjid dan surau di Wilayah Persekutuan untuk memperluaskan kawasan solat bukan hanya di dewan solat utama tetapi meliputi ruangan luar dan juga pekarangan masjid atau surau yang kebiasaannya digunakan untuk solat dengan penjarakan satu meter antara jemaah,” kata Mohd Ajib

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyeru orang ramai mengimarahkan masjid dan surau yang sudah dibuka dengan lebih luas.

“Masjid dan surau dalam Wilayah Persekutuan sudah dibuka dengan lebih luas. Jemput imarahkan,” kata Zulkifli dalam ciapan di Twitter rasminya hari ini. – Al Hijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *