Home » Langit Terbuka » Jemaah Malaysia dijangka boleh tunai umrah paling awal Januari depan

Jemaah Malaysia dijangka boleh tunai umrah paling awal Januari depan

Sehingga kini, Arab Saudi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang khusus bagi ibadah umrah untuk jemaah dari luar negara. - Foto IFHUIT

KUALA LUMPUR – Bakal jemaah umrah dari Malaysia dijangka dapat menunaikan ibadah itu di tanah suci paling awal pada Januari tahun depan.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata ia susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Malaysia yang akan tamat pada 31 Disember ini, yang memungkinkan pintu sempadan negara dibuka semula.

“Bagaimanapun, sehingga kini, Arab Saudi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang khusus bagi ibadah umrah untuk jemaah dari luar negara,” katanya kepada BH ketika dihubungi, di sini.

Mengenai pengurusan jemaah umrah di negara ini, Razali berkata, setakat ini, tiada pertambahan kumpulan baharu yang mendaftar untuk mengerjakan ibadah itu.

Justeru, pihaknya akan memberi tumpuan kepada kira-kira 50,000 orang yang sudah membuat tempahan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Selain itu, katanya jumlah jemaah yang dibenarkan juga mungkin tidak begitu ramai kerana difahamkan, kerajaan Arab Saudi kemungkinan menetapkan hanya mereka yang berusia antara 18 dan 60 tahun saja yang boleh mengerjakan ibadah itu dari luar negara.

“Kira-kira 30 ke 40 peratus mereka yang mendaftar untuk mengerjakan umrah dengan ahli kita berusia 60 tahun ke atas, selain ramai mutawif dan ketua kumpulan yang akan pergi juga kebanyakannya dalam lingkungan usia itu.

“Justeru, jemaah boleh pergi tetapi siapa yang boleh membawa mereka? Ini adalah antara perkara yang perlu kita selesaikan terlebih dulu.

“Bagaimanapun, berdasarkan perbincangan saya dengan Duta Arab Saudi ke Malaysia (Mahmoud Hussein Saeed Qattan) pada Isnin lalu, setakat ini masih tiada kenyataan rasmi daripada kerajaan negara itu berhubung syarat untuk jemaah dari luar negara. Ia hanya disiarkan oleh media di sana saja, jadi kita masih menunggu,” katanya kepada BH, pada 15 Oktober. – Berita Harian

 

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *