KEMAMAN – Program Kalam MADANI Sempena Sambutan Maulidur Rasul telah berlangsung di Masjid Lama Pengkalan Binjai, Kemaman, dengan pengisian disampaikan oleh Pengarah YADIM Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin, pada 12 September.
Kehadiran beliau turut disambut oleh Pengerusi masjid berkenaan, Encik Mohd Yasin Ramli dan Imam masjid, Ustaz Elias.
Dalam pengisiannya, beliau menyampaikan perkongsian berkaitan penghayatan Maulidur Rasul serta kepentingan menjadikan akhlak dan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Program turut diselitkan dengan Majlis Cukur Jambul anak kepada penduduk komuniti setempat, sekali gus menjadi ruang untuk meraikan kehadiran ahli baharu dalam keluarga dan mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
Turut diadakan aktiviti gotong-royong serta jamuan makan bersama penduduk kampung. Suasana kemasyarakatan bertambah meriah dengan sumbangan dua ekor lembu daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan kampung itu sendiri, Encik Roslan Ibrahim untuk dimanfaatkan dalam jamuan tersebut.
Penganjuran program ini memperlihatkan pendekatan dakwah yang menggabungkan pengisian ilmu dengan aktiviti kemasyarakatan, sekali gus mengeratkan ukhuwah antara YADIM dan komuniti setempat. Semangat kerjasama dan kebersamaan yang ditonjolkan diharap dapat terus diperkukuh dalam menyemarakkan aktiviti keagamaan serta kemasyarakatan di peringkat akar umbi.



KOMEN