Home » Langit Terbuka » Kami bantu rakyat berbeza agama, bangsa atas dasar kemanusiaan

Kami bantu rakyat berbeza agama, bangsa atas dasar kemanusiaan

Tiada pilih kasih dilakukan dalam usaha memberikan bantuan, tegas Masjid Al Islamiah - Foto Masjid Al Islamiah

 

PETALING JAYA – Selepas tular dan mendapat pujian ramai susulan bantuan makanan kepada penduduk sekitar, termasuk orang bukan Islam, Masjid Al-Islamiah di Kampung Lindungan, Petaling Jaya berkata aktiviti itu terus diperluas bagi membantu masyarakat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jurucakap masjid, Muhammad Hafis Asib berkata bantuan makanan kepada mereka terjejas ketika PKP wajar dicontohi masjid termasuk rumah ibadat lain tanpa mengira perbezaan agama dan kaum.

Sebaliknya ia perlu dilakukan atas dasar kemanusiaan.

“Kami berharap bukan sekadar kami yang memulakan inisiatif ini tapi harapan kami supaya ia diikuti masjid-masjid lain atau rumah-rumah ibadat lain bersama membantu masyarakat sekeliling tanpa mengira kaum, agama dan sebagainya.

“Tapi kita bantu masyarakat atas dasar kemanusiaan, kita bantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan, itulah prinsip kita di masjid Masjid Al-Islamiah ini,” katanya kepada FMT.

Kini, masjid itu meneruskan misi bantuan di mana kali ini membabitkan penduduk sekitar yang terdiri daripada warga asing.

Sumbangan barangan seperti beras, minyak masak, bihun, tepung dan telur diberikan kepada lebih 100 isi rumah.

“Hari ini kita beri bantuan kepada warga asing, dasar kita berperikemanusian, apabila memikirkan nasib mereka yang terkesan dengan PKP ini kita bantu, sebab kebanyakan mereka kerja kontrak dan mendapat gaji harian, jadi ketika ini tidak boleh kerja kita bantu setakat mampu untuk meringankan beban mereka.

“Walaupun bantuan diberi kepada warga asing, tidak bermakna masyarakat tempatan kita tak bantu, kita bantu dan teruskan seperti biasa, cuma bagi warga asing kita hadkan kepada mereka yang berada di kawasan sekitar sahaja,” katanya merujuk bantuan diberi kepada warga Indonesia dan Bangladesh.

Hafis berkata, bantuan yang diberikan kepada penduduk sekitar itu dibuat mengikut hasil sumbangan yang diberikan, orang awam dan NGO.

“Bentuk dan jumlah bantuan kita berikan berdasarkan berapa banyak mana sumbangan yang kami terima, kalau sumbangan kami dapat banyak, kita perluas lagi, kalau dapat terhad dana kita bantu setakat yang ada,” katanya.

Hafis yang juga pegawai hubungan masjid berkata selepas bantuan kepada bukan Islam viral sebelum ini, mereka yang tampil memberi sumbangan menunjukkan peningkatan termasuk penyumbang dari bukan Islam.

“Sumbangan dari warga Malaysia ada peningkatan, kami juga terima sumbangan dari bukan Islam yang mempercayai kreadibiliti masjid dalam menyampaikan sumbangan dan kami harap dengan sumbangan itu kami dapat bantu lagi mereka yang memerlukan untuk meringankan beban mereka,” katanya sambil memaklumkan tiada pilih kasih dilakukan dalam memberikan bantuan. – FeeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *