Home » Muamalah » Keburukan Riba

Keburukan Riba

Amalan riba telah membawa banyak keburukan dalam kehidupan manusia, kerana mengikut sistem riba, peminjam yang kaya akan menjadi bertambah senang lagi. Mereka yang meminjam akan menjadi bertambah susah dan terdesak lagi.

Masyarakat Jahiliyah di Mekah semasa Rasulullah SAW telah hidup dalam porak-peranda disebabkan oleh amalan riba. Faedahnya akan berlipat ganda jika orang yang meminjam itu tidak dapat menjelaskan hutangnya. Mungkin mereka akan terpaksa menggadaikan harta benda yang ada. Mereka juga boleh menjadi hamba kerana tidak dapat membayar hutang.

Mereka yang kekurangan patut diberi segala bantuan yang diperlukan. Tetapi peminjam wang sanggup menindas dan menghimpit mereka yang sedang hidup dalam kesusahan.

Sistem riba ini menghancurkan akhlak yang terpuji dan menukarkannya kepada sifat-sifat tidak bertimbang rasa dan tidak berperikemanusiaan. Peminjam wang memeras dan menindas golongan yang memang telah berada dalam kemelaratan dengan mengenakan faedah yang tinggi.

Amalan riba merupakan masalah sosial yang amat besar merbahayanya. Allah  SWT mengharamkan riba bukan sahaja kerana ia membawa kesan yang buruk dari segi ekonomi malah dari sudut akhlak dan keimanan.

Keharmonian masyarakat akan turut terancam kerana Allah telah mengharamkannya untuk memelihara keselamatan dan keamanan masyarakat manusia seluruhnya.

Sehubungan dengan ini, beberapa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW jelas menerangkan akibat yang akan diterima oleh pengamal riba dan antara hadisnya yang maksud seperti berikut: “Apabila seseorang menjual dirham dengan dua dirham sesungguhnya ia melakukan riba, apabila seseorang bekerja dengan tipuan ia telah melakukan riba, ia telah menipu Allah dan mengambil ayat Allah sebagai gurauan.”

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud sebagaimana berikut: “Empat orang yang merupakan hak Allah SAW untuk tidak memasukkannya ke dalam syurga dan merasai kenikmatan, iaitu peminum-peminum yang memabukkan, pemakan riba dan harta anak yatim tanpa hak dan penderhakaan kepada kedua-dua ibu bapa.”

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud seperti di bawah ini:

“Ahli riba tidak bercahaya dan tidak berseri mukanya dan pula Allah tidak memberi berkat rezeki. Di sisi Allah mereka lebih busuk daripada bau bangkai. Tidak ada seksa yang lebih pedih selain daripada ahli riba.”

Dalam soal ini, bukan sahaja pemberi riba malah mereka yang terlibat dalam kegiatan dan urusan riba juga akan menerima azab sengsara dalam neraka.

Mengikut sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir yang bermaksud sebagaimana berikut:

“Mereka yang terlibat dalam kegiatan riba adalah sama juga dengan mereka yang melaknati orang yang memakan riba, orang yang berwakil kepadanya, penulisnya dan saksinya.”

Artikel Berkaitan

Arak: Kebebasan yang Meragut Nyawa

KEMALANGAN maut akibat pemandu mabuk bukan lagi isu terpencil di negara ini. Dari lebuh raya utama hingga jalan kampung, berita mengenai nyawa

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *