Home » Langit Terbuka » Kehabisan kit ujian, Gaza rayu bantuan

Kehabisan kit ujian, Gaza rayu bantuan

Gaza merayu supaya membantu menyediakan alat penguji Covid-19, serta 100 alat bantuan pernafasan dan 140 katil untuk unit rawatan rapi. - Foto IEEE Spectrum

GAZA – Pihak berkuasa kesihatan Semenanjung Gaza bimbang wabak COVID-19 di kawasan terkepung akan terus merebak selepas wilayah itu kehabisan kit ujian Koronavirus.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra berkata, ujian di makmal pusat telah terhenti selepas kehabisan kit ujian Koronavirus.

Setakat ini, Gaza melaporkan 13 kes jangkitan COVID-19 yang kini ditempatkan di sebuah pusat kuarantin.

Bagaimanapun, pegawai bimbang kekurangan peralatan kritikal dan bekalan ubat boleh menyebabkan penularan kepada dua juta penduduk di kawasan itu.

Dalam taklimat berita, Ashraf berkata, puluhan sampel sedang menunggu ujian dan ratusan orang berkemungkinan terpaksa dikuarantinkan sementara menunggu keputusan.

Justeru, beliau merayu kepada organisasi antarabangsa supaya membantu menyediakan alat penguji di Gaza, termasuk 100 alat bantuan pernafasan dan 140 katil untuk unit rawatan rapi (ICU).

Terdahulu, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) telah menutup sekolah, masjid dan dewan orang ramai serta mengharamkan perhimpunan jalanan bagi menghentikan penularan wabak.

Bagaimanapun, Hamas belum memutuskan untuk melaksanakan perintah berkurung ke atas dua juta penduduk Gaza, kerana menganggap belum ada keperluan berbuat demikian.

Sebanyak 250 kes dan satu kematian dilaporkan di kalangan rakyat Palestin di Tebing Barat – wilayah yang dijajah oleh rejim Israel.- Agensi

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *