Home » Langit Terbuka » Kekal hubungan erat Malaysia, Arab Saudi

Kekal hubungan erat Malaysia, Arab Saudi

Rakyat Malaysia yang berada di luar negara diharap dapat menjadi ‘duta’ kecil berjiwa besar, berhati besar serta niat dan pemikiran besar untuk menaikkan nama negara dan mengeratkan silaturahim dengan negara luar, titah Yang Dipertua Agong - Foto Bernama

MADINAH – Hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi yang terjalin diharap dapat dikekalkan bagi meneruskan kesejahteraan kedua-dua negara, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Seri Paduka bertitah, keakraban antara kedua-duanya sejak sekian lama terbukti dengan kerjasama yang dijalin dan dikembangkan dalam pelbagai bidang yang memberi keuntungan kepada kedua-dua negara.

“Kehadiran saya di sini diundang pemerintah Arab Saudi, saya mengucapkan terima kasih atas undangan ini, mudah-mudahan dengan kehadiran saya ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara kedua-dua kerajaan berdaulat.

“Banyak persamaan dan banyak juga yang perlu kita terokai pada masa akan datang bagi kedua-dua pihak menjamin kesejahteraan rakyat serta kedua-dua negara,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah sedemikian pada Majlis Minum Teh Bersama Rakyat Malaysia di sini.

Turut berkenan berangkat Anakanda Seri Paduka, Tengku Amir Nasser.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi, Ahmad Irham Ikmal Hisham; Ketua Rombongan Haji Malaysia Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta kira-kira 200 rakyat Malaysia terdiri daripada jemaah haji, pelajar dan rakyat Malaysia yang bekerja di sini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, rakyat Malaysia yang berada di luar negara diharap dapat menjadi ‘duta’ kecil berjiwa besar, berhati besar serta niat dan pemikiran besar untuk menaikkan nama negara dan mengeratkan silaturahim dengan negara luar.

“Orang yang tinggal di sini (Arab Saudi) juga saya harap dapat menjadi wakil kepada negara dengan penuh disiplin dan integriti. Dengan ini tuan puan dapat membuat satu ibadah untuk negara serta agama kita.

“Kita telah memanjangkan silaturahim sesama Islam dan sudah tentu ini mencerminkan negara kita punyai rakyat cukup baik hati, ramah dan cukup ikhlas untuk kita hidup dalam harmoni dan penuh kesejahteraan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah berangkat ke Arab Saudi sempena lawatan khas ke negara itu bermula hari ini hingga 14 Julai dalam lawatan khas atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjakan Rukun Islam Kelima itu pada musim haji tahun ini dibantu 640 petugas TH. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *