Kelantan benar solat Jumaat, fardu dengan jumlah terhad

0
161
Kebenaran pelaksanaan solat semasa pelaksanaan PKPB itu mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam di negeri itu. - Foto OhBulan

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat Jumaat dan fardu serta aktiviti di masjid, surau dan musolla di negeri ini dilaksanakan secara terkawal, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kebenaran itu berkuat kuasa bermula 21 November sebagai langkah membendung penularan Covid-19 di negeri berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu turut mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

- advertisement -

“Sepanjang tempoh PKPB, bagi masjid bandar dan jajahan serta masjid mukim, solat Jumaat dan fardu jemaah dibenarkan untuk maksimum 50 jemaah pada setiap waktu dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

“Sementara bagi surau, jemaah dibenarkan maksimum 30 orang pada setiap waktu dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, bagi musolla, hanya 10 jemaah dibenarkan pada setiap waktu solat dan tertakluk kepada kapasiti musolla selepas penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dilaksanakan.

Beliau berkata, masjid dan surau yang terletak di kawasan yang disahkan terdapat kluster Covid-19 akan ditutup apabila mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Surau dan musolla yang terletak di kawasan Kluster Mengketil ditutup sehingga suatu tarikh akan dimaklumkan kelak. Selain itu, kuliah agama sama ada kuliah subuh, maghrib, dhuha dan kuliah lain termasuk kelas al-Quran di masjid, surau dan musolla juga ditangguhkan sehingga 6 Disember,” katanya. – Harian Metro

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here