HULU LANGAT – Institut Latihan Dakwah YADIM (INDAH) telah menganjurkan Kem Remaja MADANI KAFA Daerah Hulu Langat Zon Kajang dan Semenyih selama tiga hari dua malam bermula 31 Julai hingga 2 Ogos di institut tersebut.
Program ini menghimpunkan seramai 80 orang pelajar KAFA dari Zon Kajang dan Semenyih bagi membentuk sahsiah, kepimpinan serta jati diri berteraskan nilai-nilai Islam dan aspirasi Malaysia MADANI.
Program dimulakan dengan sesi ice breaking yang dikendalikan oleh Daie Muda YADIM (DMY) Am Iskandar Masnan bagi mewujudkan suasana mesra dan membina semangat ukhuwah dalam kalangan peserta. Berikunya bagi Slot 1: Cermin Jiwa, Bergaul dengan Orang Budiman (Modul I.M.A.N) telah disampaikan oleh DMY Faizikri, yang memberi penekanan kepada pembentukan akhlak mulia serta kepentingan memilih rakan yang baik.
Program diteruskan dengan ”Slot Kejayaan Seorang Pelajar Bermula dengan Adab” oleh DMY Farhat, yang menekankan kepentingan adab sebagai asas kecemerlangan seorang pelajar dengan gandingan pengisian oleh DMY Khairul Hanin. Manakala pada sebelah petang, peserta mengikuti Slot 3: LDK – Kerja Berpasukan (Outdoor) yang dikendalikan oleh DMY Hajar melalui aktiviti luar yang memupuk semangat kerjasama, komunikasi dan kepimpinan.
Pengisian seterusnya disampaikan oleh DMY Fawzan bagi menyentuh Slot 4: Pergaulan Sosial – Baik atau Buruk? Yang memberi pendedahan mengenai cabaran pergaulan remaja serta panduan memilih persekitaran yang positif menurut perspektif Islam. Slot terakhir iaitu Kepimpinan Generasi MADANI oleh DMY Syuhada yang menekankan ciri-ciri kepimpinan berintegriti, bertanggungjawab dan berakhlak mulia sebagai persediaan menjadi pemimpin masa hadapan.
Acara diteruskan dengan sesi rumusan program sebelum berlangsungnya Majlis Perasmian Penutup yang dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Penolong Pengarah Unit Pengurusan Program INDAH, Ustaz Najmi SaifulBahry. Beliau merakamkan penghargaan kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat, para penceramah, fasilitator, urus setia dan peserta atas komitmen yang diberikan sepanjang program.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Penyelia Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat, Ustaz Abdul Aziz Dollah.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada YADIM), INDAH dan semua pihak yang menjayakan program ini. Beliau turut menegaskan bahawa pembentukan sahsiah, adab dan kepimpinan perlu dipupuk sejak usia muda bagi melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
Program ini mencerminkan komitmen YADIM melalui INDAH dalam melahirkan generasi remaja MADANI yang cemerlang dari aspek ilmu, sahsiah dan kepimpinan.



KOMEN