Home » Langit Terbuka » Kenapa hendak jadikan isu pembelajaran Jawi masalah negara?

Kenapa hendak jadikan isu pembelajaran Jawi masalah negara?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri menggesa pihak yang mahu meneruskan kongres berhubung isu tulisan Jawi, agar menangguhkan dahulu bagi memberi ruang berdialog untuk mencari titik persetujuan bersama. - Foto Ktemoc Konsiders.com

KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang akan menganjurkan kongres bagi membantah pembelajaran Jawi di sekolah vernakular pada Sabtu ini, diminta tidak meneruskan niat mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menasihatkan agar perkara itu dibawa ke meja rundingan dan mencari jalan penyelesaian yang boleh diterima ramai.

“Eloklah dibawa bincang dan kembali ke meja rundingan. Saya menggesa pihak yang mahu meneruskan kongres ini agar menangguhkan dahulu bagi memberi ruang berdialog untuk mencari titik persetujuan bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid berkata demikian merujuk kepada langkah Dong Jiao Zong yang menggesa pertubuhan Cina lain di negara ini supaya mendaftar untuk menghadiri kongres berkenaan yang dijadual berlangsung di Kolej New Era di Kajang.

Dong Jiao Zong mendakwa kongres itu dianjurkan untuk menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah vernakular.

Mengulas lanjut beliau berkata, adalah tidak logik mendakwa pembelajaran Jawi tersebut mahu mengislamkan pelajar bukan Islam.

Sedangkan, katanya, pelaksanaan itu hanya sekadar untuk memperkenalkan warisan budaya dan sejarah negara.

“Mengapakah Jawi dijadikan masalah negara? Pihak yang menentang sepatutnya bersikap lebih terbuka dengan menghormati sentimen kerana tindakan mengadakan bantahan melalui kongres dan sebagainya akan mendapat reaksi negatif daripada yang menyokongnya.

“Atas reaksi spontan yang lebih memudaratkan inilah maka satu keputusan penuh berhikmah perlu dibuat,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *