Home » Langit Terbuka » Kenyataan Media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Kenyataan Media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

KETEGASAN DEMI KESEJAHTERAAN JEMAAH
Saya menyambut baik pengumuman Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengenai syarat kesihatan baharu bagi ibadah haji musim 1447H/2026M.
Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) yang menjadi institusi haji kebanggaan negara. Saya yakin TH dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia memastikan setiap jemaah haji Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik, dari tanah air hingga ke Tanah Suci.
Ibadah haji bukan sekadar rukun Islam kelima, ia juga ujian kemampuan (istito’ah), termasuk kemampuan dari segi kesihatan fizikal dan mental. Tanpa tubuh yang sihat, ibadah haji yang sempurna sukar untuk dicapai.
Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan garis panduan kesihatan untuk semua negara dan Malaysia komited untuk mematuhinya. Tujuannya jelas bagi menjaga keselamatan, kelancaran dan kesempurnaan ibadah para dhuyufurrahman.
TH dan KKM kini memperkukuh sistem pemeriksaan kesihatan wajib agar hanya bakal haji yang benar-benar layak dari segi kesihatan dibenarkan berangkat.
Bagi mereka yang belum melepasi tahap kesihatan minimum, TH menyarankan penangguhan giliran haji, bukan sebagai sekatan, tetapi sebagai peluang untuk memperbaiki kesihatan dan bersedia sepenuhnya.
TH juga akan memastikan setiap penginapan jemaah di Makkah dan Madinah dilengkapi klinik kesihatan, farmasi, dan pegawai perubatan bertauliah, manakala kes serius akan dirujuk ke hospital Arab Saudi dengan pemantauan rapi oleh pakar KKM.
Kerajaan Arab Saudi, terutamanya Kementerian Kesihatan, juga telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan kemudahan hospital sektor awam dan swasta yang moden dgn teknologi terkini, dan penambahan anggota kesihatan bagi operasi haji serta perkhidmatan kesihatan di kawasan-kawasan utama ibadah haji.
Dengan 225 petugas perubatan KKM di Tanah Suci, kita yakin mutu perkhidmatan kesihatan jemaah Malaysia akan terus berada pada tahap terbaik.
Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama TH dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi akan terus berganding bahu demi menjamin kebajikan, keselamatan dan keselesaan jemaah haji Malaysia.
Saya yakin bahawa ibadah haji yang sempurna bermula dengan tubuh badan yang sihat dan hati yang bersedia.
Sekian, terima kasih.
Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
21 Oktober 2025

Artikel Berkaitan

Pertandingan TikTok Dakwah Challenge YADIM 2025

PERTANDINGAN TIKTOK DAKWAH CHALLENGE YADIM bersempena Program Dakwah Negara 2025! Tema: “Membangun Adab, Membina Negara” Khusus untuk belia berusia 13-30 tahun Cipta

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *