Home » Langit Terbuka » Keprihatinan Kerajaan Madani Terhadap Pendidikan Islam

Keprihatinan Kerajaan Madani Terhadap Pendidikan Islam

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan besar berjumlah RM15 juta, bagi memperkasa sekolah pondok dan institusi agama di seluruh Perak.

Pengumuman itu dibuat semasa Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Perak atau HIPSA 2026, yang menghimpunkan kira-kira 3,000 peserta di Chemor, Perak semalam.

Dana khas RM15 juta ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan, dalam memastikan institusi pendidikan Islam mempunyai fasiliti dan sistem pengajian yang terbaik. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM300 ribu disalurkan khusus kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, SABK Maahad Al Ummah.

Menurut Perdana Menteri, institusi pondok dan sekolah agama amat penting, bagi melahirkan generasi berilmu dan berakhlak, yang menjadi tonggak pembangunan negara.

Selain penyerahan dana, majlis turut menyaksikan tajaan yuran pelajar menerusi Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia, bagi meluaskan akses pendidikan kepada anak-anak asnaf.

Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, YADIM, dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak ini turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Dr. Zulkifli Hasan, Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom, serta barisan kepimpinan negeri Perak.

Bagi mendekati denyut nadi rakyat, HIPSA 2026 turut diserikan dengan Forum Bicara Murobbi, pameran agensi agama, Jualan Rahmah, serta penyampaian bantuan kebajikan kepada golongan memerlukan.

YADIM bersama agensi Hal Ehwal Agama lain berharap, himpunan ini menjadi wadah terbaik memperkukuh jaringan dakwah dan pembangunan ummah, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *