Home » Langit Terbuka » Kerajaan laksana Pelan Tindakan Sosial Islam, bantu bendung gejala sosial dalam negara

Kerajaan laksana Pelan Tindakan Sosial Islam, bantu bendung gejala sosial dalam negara

PTSI merupakan inisiatif kerajaan bagi menangani gejala sosial dalam kalangan masyarakat kita, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - Foto KPBKL

KUALA LUMPUR – Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) merupakan salah satu pelan yang dibangunkan oleh kerajaan bagi menangani gejala sosial yang semakin meruncing dalam kalangan masyarakat terutamanya umat Islam dalam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Pelaksanaan PTSI dilihat dapat membantu usaha pencegahan dan pemulihan secara lebih bersepadu, terancang dan tersusun.

“Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim ) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-negeri telah membangunkan pelan PTSI yang telah dipersetujui oleh Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-66 pada 13 Jun lalu.

“PTSI merupakan inisiatif kerajaan bagi menangani gejala sosial dalam kalangan masyarakat kita dengan pelbagai isu seperti penagihan dadah, remaja hamil (tidak berkahwin), pembuangan bayi, perceraian, gelandangan, penularan virus HIV / AIDS, penagihan arak, seks bebas, sumbang mahram, jenayah juvana, pengamalan gaya hidup songsang dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan Dewan Rakyat hari ini (28 November), yang meminta kerajaan menyatakan langkah untuk membendung gejala jenayah seksual seperti perzinaan, sumbang mahram, khalwat dan LGBT yang semakin berleluasa dalam masyarakat hari ini.

Selain itu katanya, kerajaan telah melaksanakan Program Pendidikan dan Advokasi seperti Seminar Kebangsaan Pencegahan Jenayah Syariah 2018, dan Program Cakna Pergaulan Anda Cegah Jenayah Tanggungjawab Bersama 2019, untuk memberi kefahaman berkaitan Undang-Undang Jenayah Syariah.

Tambahnya lagi, kerajaan juga mewujudkan Pusat Khidmat Keluarga dan Sosial Komuniti (PKKSK) termasuklah KSKCareCentre yang merupakan pusat khidmat kaunseling syarie, terapi psikospiritual Islam yang dibuka kepada semua masyarakat awam secara percuma.

“Kita juga mewujudkan pusat-pusat perlindungan yang dibangunkan oleh Majlis Agama Islam Negeri seperti Darul Islah atau Dar Assaadah yang ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bertujuan memberi perlindungan kepada wanita-wanita yang telah terjebak dengan masalah gejala sosial.

“Semasa berada di rumah perlindungan ini wanita-wanita atau anak-anak remaja ini diberi bimbingan kerohanian dan kemahiran supaya mereka kembali ke pangkal jalan dan mampu berdikari bila keluar dan berhadapan dengan masyarakat nanti,” katanya.

Di samping itu, menurut Mujahid, kerajaan telah memperuntukkan perundangan dan hukuman bagi kesalahan seperti perzinaan, sumbang mahram, khalwat, musahaqah, orang lelaki berlagak seperti perempuan yang terkandung dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri. – Malaysia Dateline

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *