KUALA LUMPUR, 5 Jun – Pavilion Baitul Hikmah MADANI terus menerima kunjungan hebat daripada warga kota bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Uniknya pada tahun ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah diberi kepercayaan sebagai agensi penyelaras bagi Pavilion Baitul Hikmah MADANI, yang bertindak menghimpunkan sebanyak 14 buah agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam satu reruai setempat.
Reruai berkonsepkan pusat sehenti ini menawarkan pelbagai judul buku serta bahan bacaan berkualiti kepada orang ramai, termasuk koleksi buku ilmiah dan dakwah terbitan YADIM yang dilaporkan paling mendapat perhatian pengunjung.
Kehangatan suasana di pesta buku tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Puan Marhamah Rosli yang meluangkan masa meninjau pengoperasian pavilion berkenaan.
Selain melawat kaunter pameran dan beramah mesra dengan para petugas, beliau turut membeli beberapa naskhah buku terbitan YADIM sebagai tanda sokongan terhadap industri penulisan Islam tempatan.



KOMEN