Home » Citra Yadim » Komuniti Rahmah Bersama YADIM 3.0

Komuniti Rahmah Bersama YADIM 3.0

MARANG – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu terus konsisten turun padang mendekati masyarakat.

Terbaharu, bertempat di Masjid Kampung Surau Haji Yaakob, Bukit Payong di sini, telah diadakan program Komuniti Rahmah Bersama YADIM (KORY) 3.0 pada 8 Februari.

Bertujuan memasyarakatkan YADIM dan menyantuni golongan sasar badan dakwah ini, program sehari ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat.

Ia diadakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Marang, Pejabat Agama Daerah Marang, Jawatankuasa Masjid Kampung Surau Haji Yaakob, KEMAS Daerah Marang,
Pejabat Pendidikan Daerah Marang,
Rejimen 512 Askar Wataniah dan
Pejabat Kesihatan Daerah Marang.

Program bermula seawal jam 8.30 pagi dengan Pengarah YADIM Terengganu,Mahadi Awang menyampaikan ucapan aluan sebelum diadakan Ceramah dan Amali Pengurusan Jenazah oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Masjid, Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu, Ustaz Mohamad Deraman.

Turut diadakan pada sebelah pagi ialah pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk yang hadir.

Selepas berhenti rehat untuk makan tengahari dan solat Zohor, majlis diteruskan dengan pertandingan mewarna bertemakan Rahmah dan Harmoni.

Timbalan Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin telah menyampaikan hadiah untuk pemenang pertandingan ini.

Zolkharnain kemudiannya menyertai Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung  Surau Haji Yaakob melaksanakan program ziarah rahmah ke lima buah keluarga asnaf terpilih di sekitar kawasan ini.

Kesemuanya menerima sumbangan barangan keperluan harian dari YADIM bertujuan meringankan beban mereka.

Perasmian KORY 3.0 diadakan pada  sebelah malam. Ia dimulakan dengan Zikir Munajat oleh pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Kamal Abdullah. Pengerusi Masjid Kampung  Surau Haji Yaakob,  Mohd Razali Ismail kemudiannya menyampaikan ucapan aluan, sebelum Zolkharnain merasmikan majlis.

Seramai 40 buah keluarga juga menerima sumbangan barangan keperluan dalam majlis perasmian program.

Secara keseluruhan, lebih 700 peserta menyertai KORY 3.0 yang sebahagian besarnya adalah golongan muda.

YADIM Terengganu merancang untuk memperluas program ini ke seluruh negeri pada masa akan datang.

KORY 1.0 sebelum ini telah dilaksanakan dengan jayanya di Masjid Kampung Darau, manakala KORY 2.0 di Masjid Kampung Jabi. Keduanya di Besut.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *