Home » Langit Terbuka » Kongres Perpaduan Negara rintis penyatuan ummah

Kongres Perpaduan Negara rintis penyatuan ummah

Kongres itu bertujuan merintis jalan ke arah penyatuan ummah dan kemelut ideologi politik yang sedang melingkari masyarakat Islam di negara ini. - Foto KPN

KUALA LUMPUR – Sebuah NGO, Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) akan menganjurkan Kongres Perpaduan Negara 2021 selama dua hari pada 16 dan 17 Januari ini.

Kongres menampilkan pembentang dan panel dari tokoh pemimpin, akademik dan masyarakat itu akan berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Ia bertujuan untuk merintis jalan ke arah penyatuan ummah dan kemelut ideologi politik yang sedang melingkari masyarakat Islam di negara ini.

Menurut Presiden WOAG Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, kongres itu juga akan membuka ruang percambahan pemikiran dalam kalangan pemikir, ahli akademik dan aktivis sosial.

Katanya, mereka akan membangunkan kerangka penyelesaian yang boleh diterima secara praktisnya bagi kemelut sosiopolitik dan kesejagatan fitrah manusia meliputi perpaduan dan penyatuan masyarakat yang melangkaui etnik, odeologi politik, etos budaya dan agama.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Kongres berkata, program itu bagi membentuk satu mekanisme menangani isu perkauman dalam skrip baharu sesuai dengan situasi semasa.

“Kita juga mahu memupuk amalan mulia rentas budaya dan primodial dengan kesefahaman yang lebih baik bersendikan peraturan dan nilai yang boleh diterima secara sejagat.

“Lebih penting lagi, membina dan menghidupkan jambatan rundingan serta muafakat sebagai langkah berkesan agar krisis, konflik dan ketegangan dibendung serta tidak menjadi letusan kemarahan atau perbalahan besar yang menjejaskan kestabilan politik dan kebencian.

“Oleh itu, tidak ada sebab mana-mana pihak menolak seruan dan peluang ini, demi merintis jalan ke arah perpaduan,” katanya dalam kenyataan kepada media, pada 8 Januari.

Menurut Prof. Dr. Mohd Fakhrudin, dengan merintis jalan itu, ruang jaminan hidup sejahtera akan terlaksana.

Mengenai peserta, katanya, ia terdiri daripada pemimpin masyarakat, aktivis sosial, penjawat awam, ahli akademik dan sebagainya.

Mereka akan disajikan siri pembentangan dan perbahasan serta soal jawab yang pastinya memfokuskan ke arah mencapai matlamat serta tujuan kongres.

Kongres itu dijangka dirasmikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, manakala penutup oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganjur bersama kongres ialah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Akademi Pengajian Islam Universiti Malaysia (APIUM) dan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH).

Turut bersama, Kementerian Perpaduan Negara dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama.

Prof. Dr. Mohd Fakhrudin berharap, kongres dua hari itu dapat menyatukan kepelbagaian, mengelakkan perpecahan dengan wawasan baharu dan iktikad yang jelas.

“Kita berkongsi secara saksama, bukan hanya atas nama kebersamaan bertunjangkan ‘apa yang ada pada saya adalah milik saya dan apa yang ada pada anda adalah milik saya juga’.

“Memang tidak mungkin untuk manusia berpendapat dan berfikiran sama, tetapi untuk bersatu tentunya tiada halangan, asalkan semua pihak bersikap jujur pada diri sendiri dan menghormati orang lain.

“Mudah-mudahan, usaha kongres ini dapat merealisasikan matlamat memperkasa perpaduan dalam kalangan pemimpin dan rakyat dilaksanakan dengan jaya agar asas kepada kesejahteraan negara terus kekal lestari di bawah lembayung rahmat Allah,” katanya. – MalaysiaGazette.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *