Home » Persuasif » Konvensyen Dakwah Negara

Konvensyen Dakwah Negara

DAKWAH DAN PERUBAHAN SOSIAL

Suasana pandemik COVID-19 tidak bermakna aktiviti penggabungjalinan dan pembentukan kerjasama antara sektor tidak dapat dilaksanakan meskipun secara zahirnya pergerakan fizikal cukup terbatas serta perlu dipraktiskan pematuhan SOP.

Menyedari keperluan untuk menjalin kerjasama dan membentuk model  penggabungan antara pertubuhan dan aktivis dakwah di seluruh negara, Majlis Dakwah Negara  (MDN) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan sokongan  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan lebih 40 buah pertubuhan dakwah bersedia untuk ‘duduk semeja’ menjayakan Konvensyen Dakwah Negara secara modular pada awal Ogos ini.

Konvensyen Dakwah Negara akan berlangsung setiap Isnin sepanjang tiga jam (9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari) sepanjang bulan Ogos melibatkan empat sesi persidangan ‘meja bulat’ dan satu Sidang Pleno.  

Menurut sekretariat penganjuran konvensyen tersebut, ia akan berlangsung bermula pada 2 Ogos 2021 dengan bimbingan fasilitator oleh Dr Abdullah Sudin, Presiden Pertubuhan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) dan dibantu oleh Pengarah Kanan Dakwah JAKIM, Tuan Haji Ruslan Said dengan tajuk “Realiti Gerakan Dakwah di Malaysia Sekarang”.

Persidangan ‘meja bulat kedua’ akan disusuli seminggu kemudian (9 Ogos 2021) dengan perbincangan berkaitan dengan “Masalah dan Kekangan Dalam Melaksanakan Tugas    Dakwah Dalam Realiti di Malasia Masakini” dengan bimbingan fasilitator oleh Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman,  Presiden Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH) dan dibantu oleh Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita, YADIM , Ustaz Azhar Yahya. 

Pada minggu ketiga (16 Ogos 2021), perbincangan ‘meja bulat’ diteruskan dengan tajuk “Membina Masa Depan Yang Lebih Cerah Bagi Gerakan Dakwah Di Malaysia” yang akan dipimpin oleh fasilitator yang dilantik iaitu Yang di Pertua YADIM, Ustaz Nasarudin bin Hasan dan dibantu oleh Presiden Pertubuhan Kebajikan al-Qaiyim Malaysia (IQ), Dr. Rozaimi Ramle.

Pagi Isnin keempat (23 Ogos 2021) perbincangan ‘meja bulat’ terakhir berusaha mengupas persoalan “Perkongsian Bijak Di antara Pelbagai Organisasi Dakwah di Malaysia Bagi Mencapai Hasil Usaha Yang Maksimum” dengan pimpinan fasilitator oleh Datuk Nakhaei Haji Ahmad, Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan dibantu oleh Timbalan Presiden, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Tuan Haji Badlishah Sham Baharin.

Hari Isnin kelima (30 Ogos 2021), yakni minggu terakhir bulan Ogos akan ditutup dengan tirai Sidang Pleno  bagi menetapkan ‘usul dan ketetapan’ dengan pimpinan fasilitatornya iaitu Prof. Emeritus Tan Sri Mohd Kamal Hasan, mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malysia (UIAM) dan dibantu oleh pakar motivasi tersohor, juga seorang pendakwah, Datuk Dr Fadhilah Kamsah. 

Menurut sekretariat konvensten itu lagi, tujuan dianjurkan aktiviti berkenaan antara lain ialah untuk: 

(1) menggembeling para aktivis dakwah dalam satu wacana yang berstruktur; 

(2) membentuk satu gagasan umum dan kerjasama antara penggiat dakwah; 

(3) mengenal pasti bidang-bidang dakwah yang perlu diberikan penekanan dan membentuk strategi bersama dengan satu matlamat yang jelas; 

(4) meneliti potensi dakwah bagi menggalakkan ‘perubahan sosial’ dan amalan ‘budaya hidup’ yang berperadaban tinggi; dan 

(5) merangka kemungkinan penubuhan organisasi bersama dalam penyelarasan dan kerjasama dakwah rentas politik kepartian dan sekterian (aliran pemikiran dan bermazhab).  

Kesemua objektif yang diharapkan itu, menurut sekretariat penganjuran konvensyen itu adalah peting dalam usaha merancang aktiviti dakwah secara lebih efisyen dan berkesan di samping mengoptimumkan kepakaran masing-masing, bukan lagi berbentuk dakwah secara terpisah.

“Percubaan sedemikian adalah penting kerana Islam hanyalah satu, tetap berpandukan apa yang terdapat dalam al-Qur’an, as-Sunnah, pendapat dan ijtima’ para ulama dan perlu dilaksanakan dakwah secara bersepadu. Ini dapat mengelakkan ‘imej buruk’ yang sedang digambarkan terhadap aktiviti dakwah Islam, termasuk unsur-unsur perbalahan sekte dan saling tuduh menuduh,’ tegas sekretariat Konvensyan Dakwah Negara lagi.

Dalam pada itu, menurut sekretariat Konvensyen Dakwah Negara, terminologi dakwah sudah muncul sejak terciptanya manusia pertama, iaitu Nabi Adam AS yang disaluti dengan amanah Allah SWT sebagai khalifah fil ardh, pemimpin manusia yang menjalankan mandat Ilahi, bukannya sekadar makna pemimpin yang difahami dalam konteks peradaban moden sekular. 

Dalam sejarah peradaban Islam, Allah SWT mengutuskan para nabi dan rasul bagi menunjuk jalan kepada manusia untuk hidup bersama secara harmoni dalam acuan akhlak yang terpuji, standard atau acuan yang ditetapkan. 

Namun, dalam merealisasikan mandat tersebut, para nabi dan rasul berhadapan dengan pelbagai rintangan, ugutan, ancaman dan halangan yang cukup besar kerana manusia sangat mendominasikan setiap pemikiran dan perilakunya berdasarkan pentafsiran masing-masing.

Manusia mentafsirkan makna kebebasan dan pilihan berdasarkan apa yang mereka inginkan, atau sesuai dengan aturan peribadi, walhal setiap peraturan dan penilaian peribadi wajar digandingkan dengan keperluan sejagat dan fitrah kenapa Allah SWT mencipta manusia di atas muka bumi.

Dalam menentukan sesuatu pilihan, secara fitrahnya manusia seringkali silap membuat tafsiran mengenai kewujudannya sehingga proses kehidupan itu hanya untuk memenuhi keperluan-keperluan asas yang bersifat material dan psikologi, tidak ada kaitan dengan keperluan ruhani atau spiritual. 

Akhirnya, akibat tertumpu kepada pemenuhan kehendak-kehendak tersebut, seringkali setiap pilihan yang dibuat menimbulkan pelbagai konflik, perbalahan dan tragedi yang turut memusnahkan kehidupan manusia yang beradab.

Sebab itulah dalam penggembelingan penyampaian dakwah dalam Islam cukup kuat ditunjangi oleh pemerkasaan nilai dan peradaban, yakni dalam konteks pengisian makna spiritual secara berhemah, bukan saling mendakwa pendapat kelompok itulah yang paling tepat dan wajib dipatuhi walaupun tidak diterjemahkan dalam kerangka al-Qur’an dan as-Sunnah. 

Pergeseran itulah yang cuba dielakkan dalam pembinaan manhaj dakwah Islamiah yang tujuannya cukup jelas, selain menyatukan sumber dan kepakaran, ialah menjernihkan pelbagai pendirian, sikap dan tujuan berdakwah, yakni ‘dari manusia, untuk manusia dan kepada Allah SWT’, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutuskanmu sebagai saksi (terhadap umatmu) dan pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufiq yang diberi-Nya dan sebagai lampu yang menerangi.” (Surah Al-Ahzab:45-46). 

“Serulah ke jalan Rabbmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Rabbmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk”. (Surah An-Nahl: 125)

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang makruf (baik), serta melarang daripada segala yang mungkar/salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya”. (Surah Ali Imran: 104)

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh serta mereka berpesan-pesan sesama mereka dengan kebenaran dan berpesan-pesan sesama mereka dengan kesabaran”.( Surah Al-‘Ashr:1-3)

Berdasarkan keempat-empat ayat al-Quran, menunjukkan bahawa peranan manusia diciptakan di dunia ini amat besar. Di bahunya terpikul tanggungjawab untuk memakmurkan dunia dengan mengembalikan manusia kepada fitrah agama Islam iaitu mengEsakan Allah SWT yang berhak disembah di samping memandu kehidupan manusia agar hidup dengan akhlak yang baik sebagaimana digariskan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Jalan yang dijelaskan tersebut ialah melalui jalan dakwah yang di dalamnya mengandungi pelbagai metode dan saranan agar bersabar ketika menyampaikannya kerana hidayah adalah milik Allah SWT. Semoga Konvensyen yang dianjurkan ini dapat menyatukan batas pemikiran yang pelbagai agar bernaung dalam satu panji yang dinamakan dakwah Islamiah.

YANG BENAR,

DR NOR RAUDAH HJ SIREN

KETUA URUSETIA

KONVENSYEN DAKWAH NEGARA

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *