GOMBAK – Bahagian Lonjakan Prestasi dan Inovasi, YADIM telah mengadakan kunjungan hormat ke Persatuan Cabang Istimewa Muhammadiyah Malaysia (PCIM Malaysia) pada 15 Mei bertempat di Rumah HAMKA Malaysia, Gombak.
Delegasi YADIM ini diketuai oleh Pengarah Bahagian Lonjakan Prestasi dan Inovasi, Encik Syahrir Azfar Saleh, yang disambut oleh Bapak M. Fauzi Fatkhur, Ketua Pimpinan Cabang Istimewa Muhammadiyah Malaysia, bersama pimpinan-pimpinan lain.
Kunjungan hormat ini bertujuan untuk menjalin hubungan strategik serta berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan pembangunan organisasi yang mampan dan berdaya tahan.
PCIM Malaysia merupakan organisasi pimpinan cabang istimewa Muhammadiyah yang menaungi struktur Muhammadiyah di Malaysia. Organisasi ini telah didirikan di Malaysia pada tahun 2007 dan mula berdaftar secara rasmi di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada tahun 2024.
PCIM Malaysia turut memiliki struktur organisasi yang merangkumi empat wilayah/negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Perlis, selain mempunyai 11 ranting PCIM serta enam ranting Pimpinan Cabang Istimewa Aisyiyah.
Muhammadiyah juga kini mempunyai sekitar 60 juta ahli di seluruh dunia serta berjaya memahat pelbagai kejayaan khususnya dalam pembangunan institusi pendidikan, kebajikan dan pembangunan masyarakat.
Kejayaan dan perkembangan Muhammadiyah ini menjadi inspirasi kepada YADIM dalam usaha memperluas jaringan global selaras dengan Awlawiyat keempat YADIM iaitu “Jangkauan Global dan Masa Depan”.
Selain sesi perkenalan dan perkongsian pengalaman, beberapa cadangan kerjasama strategik turut dibincangkan antara kedua-dua pihak.
Pertemuan istimewa ini membuka dimensi baharu gerak kerja dakwah kepada sesuatu yang lebih luas. Tidak hanya sekadar ceramah, perlatihan dan menyampaikan dakwah kepada masyarakat, malah dakwah itu perlu mencakupi setiap aspek kehidupan manusia sedari hari pertama kelahiran sehingga dipanggil semula bertemu Allah SWT.



KOMEN