PURTAJAYA – Kunjungan hormat YADIM kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh Tseow Suan pada 4 Mei telah membuka ruang perbincangan yang lebih dekat dengan usaha badan dakwah ini menyantuni keperluan masyarakat bandar.
Pertemuan tersebut telah disambut oleh Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh bersama Setiausaha Sulit beliau, Encik Nor Miswary Ramli. Seterusnya perbincangan telah melibatkan delegasi YADIM yang diketuai oleh Yang Dipertuanya, Datuk Dr. Hasan Bahrom, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Prof Ts. Dr. Zuriiti Ahmad Zukarnain serta Ketua Pegawai Eksekutif, Ustaz Zamri Zainal Abidin.
Turut terlibat ialah Pengarah Kanan Sektor Dasar YADIM, Puan Suhaila Sahibul Ghani, Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Antarabangsa, Encik Mohamad Hafez Azmi, Pegawai Khas Yang Dipertua YADIM, Encik Ismail Dzulkarnain, Pegawai Khas Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Mohammad Izzuddin Mohamad Ares, serta Penolong Pengarah YADIM Kuala Lumpur dan Putrajaya, Encik Aniq Muqri Mohammad.
Fokus utama perbincangan tertumpu kepada cadangan kerjasama program komuniti yang lebih menyeluruh, dengan penekanan kepada pendekatan yang praktikal dan mudah.
Antara cadangan awal yang diketengahkan ialah sokongan kepada penganjuran program senamrobik secara mingguan di kawasan Program Perumahan Rakyat sebagai inisiatif menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif. Dalam hal ini, YADIM dicadangkan menyumbang keperluan aktiviti sukan bagi menyokong penyertaan komuniti, khususnya wanita.
Langkah ini signifikan dalam mendekatkan program berteraskan nilai dan kesejahteraan kepada masyarakat akar umbi, selari dengan peranan YADIM dalam menyantuni komuniti secara inklusif dan berterusan.
Secara keseluruhannya, kunjungan ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik antara YADIM dengan pihak kementerian dalam memperluas impak program kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan.



KOMEN