Home » Langit Terbuka » Kuota Haji: TH tunggu perincian dari mesyuarat menteri-menteri di Arab Saudi

Kuota Haji: TH tunggu perincian dari mesyuarat menteri-menteri di Arab Saudi

Tabung Haji akan mengikuti sebarang perkembangan dengan rapat mesyuarat Menteri Menteri Haji sebelum memutuskan sebarang perkara berkaitan. - Foto TMR

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) akan menunggu sebarang perkembangan dari mesyuarat tahunan melibatkan urusan Haji di Arab Saudi, sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan jemaah haji Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan TH Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, buat masa ini pihak beliau belum dimaklumkan mengenai tarikh sebenar mesyuarat itu.

Ujarnya lagi, seperti dilaporkan sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mengunjungi Arab Saudi pada awal tahun hadapan untuk mendapatkan maklumat terperinci.

“Ada mesyuarat tahunan antara Menteri Haji Kerajaan Arab Saudi dengan menteri-menteri haji di negara Islam terbabit. Jadi biasanya mesyuarat ini akan membincangkan antaranya kuota haji yang akan diberikan kepada negara masing-masing.

“Kita tidak akan tahu perkara ini sehingga lah mesyuarat ini diadakan, tarikhnya belum ditetapkan. Keduanya, dari segi haji itu sendiri, sekarang ini kalau kita tengok apa yang berlaku di Arab Saudi, mereka memulakan ibadah umrah dahulu. Jadi dan sekarang pun terhad kepada rakyat Saudi dan mereka yang berada di sekitar Saudi,” katanya lagi.

Nik Mohd Hasyudeen berkata, pihak TH akan mengikuti sebarang perkembangan dengan rapat mesyuarat itu sebelum memutuskan sebarang perkara berkaitan.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas Majlis Pelancaran Aplikasi THiJari di Menara TH, di sini pada 5 Oktober.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Zulkifli sebagai berkata, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi masih belum mengeluarkan sebarang garis panduan pelaksanaan ibadat umrah dalam suasana pandemik COVID-19 yang masih belum pulih.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan kerajaan akan sentiasa berusaha mendapatkan perkembangan terkini daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan bekerjasama dengan agensi terlibat bagi memudahkan pelaksanaan ibadat umrah bagi umat Islam di Malaysia.

Sementara itu Nik Mohd Hasyudeen ketika menjelaskan mengenai aplikasi THiJari itu berkata, ia merupakan sebahagian usaha TH untuk memudahkan capaian para pendeposit kepada sistem perkhidmatan, selari dengan kehendak dan kepesatan teknologi semasa.

Melalui aplikasi yang boleh dimuat turun dari Google Play dan App Store itu, beliau berkata, para pendeposit boleh melakukan transaksi dalam talian seperti urusan pertanyaan baki, cetak penyata, pemindahan wang, semak status haji, serta urusan pendaftaran haji. – Awani

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *