Home » Langit Terbuka » Laluan Pelajar Tahfiz Kian Mudah

Laluan Pelajar Tahfiz Kian Mudah

KUALA LUMPUR: Hampir 700,000 murid dalam aliran agama berada di luar sistem Kementerian Pendidikan, dengan kira-kira 50,000 murid mengikuti pengajian di sekolah tahfiz swasta, yang diasaskan orang perseorangan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kumpulan 50,000 pelajar tahfiz itu berada di kira-kira 1,400 sekolah tahfiz swasta, termasuk institusi pondok, ada antaranya tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana tumpuan diberikan kepada hafazan al-Quran bagi melahirkan huffaz, menyebabkan mereka tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata bagi kira-kira 650,000 yang berada di sekolah agama bawah kerajaan negeri pula, pendidikan disediakan sama seperti aliran biasa, termasuk keperluan menduduki peperiksaan SPM.

Justeru katanya, langkah kerajaan membuka laluan kepada murid lulusan institusi tahfiz mengikuti program tertentu di IPTA, dengan syarat menduduki dan wajib mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan lulus Sejarah membuka peluang dan memudahkan lebih ramai golongan itu untuk melanjutkan pengajian di IPTA.

“SPM adalah kunci kepada sistem pendidikan kita untuk melanjutkan pengajian ke IPTA, jadi apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membuka laluan kepada murid tahfiz untuk ke IPTA, dengan syarat dua mata pelajaran itu (Bahasa Melayu dan Sejarah), diikuti sijil tahfiz mereka, mereka berpeluang mengambil diploma dan ijazah dalam bidang pengajian Islam, al-Quran dan dakwah.

“Sudah tentu ibu bapa dan murid gembira kerana mereka mempunyai laluan ke pengajian tinggi selepas meninggalkan maahad tahfiz masing-masing,” katanya kepada BH, semalam.

Tertakluk meritokrasi 

Khamis lalu, KPT mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.

Langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Bagaimanapun, kemasukan pelajar tahfiz atau UEC tetap tertakluk kepada meritokrasi dan syarat wajib, iaitu kepujian dalam Bahasa Melayu dan lulus Sejarah dalam SPM.

Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan Al-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).

Bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.

Mengulas lanjut, Alimuddin yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan, berkata ada murid di sekolah tahfiz swasta mengambil inisiatif menduduki SPM sendiri kerana berasakan laluan ke IPTA lebih mudah.

Sementara itu, di Sungai Petani, BERNAMA melaporkan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim, berkata kira-kira 50,000 lulusan tahfiz atau pondok persendirian mendapat manfaat bagi melanjutkan pengajian ke IPTA untuk mengikuti program tertentu.

Katanya, ini susulan keputusan Kabinet berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan, iaitu daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan SMPC/UEC.

Beliau berkata, walaupun ada lulusan tahfiz yang mengambil peperiksaan SPM atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) melanjutkan pengajian di IPTA, keputusan terbaharu itu menjadi penambahan paling besar untuk pelajar aliran agama.

“Untuk lulusan pondok persendirian, ada kira-kira 50,000 orang, manakala lepasan SMPC/UEC tidak sampai 9,000,” katanya selepas menghadiri Program Temu Siswa Zon Utara di Universiti Teknologi MARA Kedah.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/05/1558328/laluan-pelajar-tahfiz-kian-mudah

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *