SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sukacita berikutan jumlah agihan zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS) penerima yang berhak bagi tahun 2025 mencapai RM1.33 bilion.
Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, prestasi memberangsangkan itu disokong oleh jumlah kutipan zakat pada tahun sama berjumlah RM1.31 bilion.
“Bagaimanapun, daripada data Zakat Selangor bagi tahun 2025 itu, baginda berkenan menegaskan bahawa masih terdapat pertambahan kemiskinan baharu di negeri Selangor iaitu seramai 14,000 keluarga fakir dan miskin.
“Baginda tidak mahu ada pihak yang salah faham atau keliru dengan kenyataan yang mendakwa tiada lagi kemiskinan tegar di Selangor, walhal masih ada penerima zakat yang dikategorikan sebagai fakir dan asnaf.
“Penentuan status asnaf oleh Zakat Selangor ini dibuat berdasarkan pengiraan had kifayah,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Menerusi kenyataan sama, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kekhuatiran jika pembayar zakat beranggapan sudah tidak ada lagi fakir miskin di Selangor sehingga boleh menjejaskan jumlah kutipan zakat.
Jelas kenyataan itu, daripada jumlah keseluruhan agihan tahun lalu, lebih 60 peratus agihan zakat khusus kepada golongan fakir dan miskin, dengan lebih 75,000 keluarga disantuni di seluruh Selangor.
“Peningkatan bilangan asnaf baharu ini didorong oleh usaha proaktif Zakat Selangor dalam memperkukuh proses penilaian, pengesanan dan peluasan capaian bantuan kepada keluarga yang layak.
“Lebih 2,800 keluarga fakir dan miskin pula berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan hasil intervensi berterusan yang dilaksanakan.
“Baginda mahu agar agihan zakat terus difokuskan kepada bantuan asas seperti kewangan bulanan, makanan, perumahan dan sokongan pendidikan.
“Baginda juga berharap Zakat Selangor akan terus melaksanakan amanah kutipan dan agihan zakat secara bertanggungjawab, telus dan berintegriti selaras dengan tuntutan syariat Islam,” menurut kenyataan itu lagi.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/05/1542734/lembaga-zakat-selangor-santuni-lebih-75000-keluarga-tahun-lalu



KOMEN