Home » Langit Terbuka » LZS kutip RM794 juta wang zakat pada 2018

LZS kutip RM794 juta wang zakat pada 2018

Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor berkata, daripada jumlah dikutip, RM479.8 juta adalah zakat pendapatan, diikuti zakat perniagaan RM151.8 juta, zakat simpanan RM54.2 juta dan bakinya adalah daripada lain-lain zakat. - Foto LZS

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya mengutip zakat berjumlah RM794 juta sepanjang 2018, kata Ketua Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, RM479.8 juta adalah zakat pendapatan, diikuti zakat perniagaan RM151.8 juta, zakat simpanan RM54.2 juta dan bakinya adalah daripada lain-lain zakat.

‘’Saya ingin menegaskan bahawa urusan dan agihan zakat adalah berlandaskan fatwa yang telah diwartakan. Semua wang zakat yang dikutip pada tahun tersebut perlu diagihkan di dalam tahun semasa dan LZS terus melaksanakan kutipan bagi menampung keperluan asnaf yang kini semakin meningkat,’’ katanya.

Berucap pada majlis penghargaan LZS 2018 yang meraikan ejen kutipan, penolong amil dan pengeluar zakat korporat Selangor di sini pada Rabu, beliau berkata kutipan zakat itu turut diperoleh menerusi kerjasama erat serta komitmen ejen kutipan serta penolong amil LZS.

Katanya kerjasama itu satu ibadah yang dijamin berikutan ia sudah membela nasib lebih 57,000 keluarga fakir, miskin dan mualaf di Selangor.

“Antara bantuan yang sudah disalurkan adalah RM123.6 juta bagi bantuan kewangan dan bulanan asnaf, RM72.4 juta bagi bantuan bina, baik pulih dan sewa rumah serta RM72.2 juta untuk bantuan keperluan pendidikan dan yuran persekolahan.

“Selain itu, LZS juga sudah menyalurkan sebanyak RM52.6 juta untuk bantuan perubatan serta RM25.8 juta untuk bantuan dialisis asnaf gharimin,’’ katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Universiti Putra Malaysia yang merupakan amil Institusi Pengajian Tinggi LZS menerima anugerah Muaz bin Jabal sebagai pengiktirafan di atas peningkatan dari segi kutipan zakat dan pembayar baharu serta telah memberikan komitmen terbaik sepanjang tahun lepas.

Celcom Axiata Berhad pula menerima anugerah Umar Al-Khatab bagi peningkatan jumlah kutipan zakat menerusi potongan gaji dan Lembaga Tabung Haji diiktiraf sebagai syarikat pengeluar zakat tertinggi dengan menerima anugerah Abdul Rahman bin Auf.- Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *