Home » Langit Terbuka » Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan rayuan berhubung kes tukar agama

Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan rayuan berhubung kes tukar agama

PUTRAJAYA, 1 Okt – Mahkamah Persekutuan di sini akan membuat keputusan sama ada mahkamah sivil atau syariah, mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan seorang pekerja kilang wanita yang mempersoal kesahihan penukaran agamanya kepada Islam ketika berusia tujuh tahun.

 

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai lima anggota panel hakim, menangguhkan keputusan mereka berhubung perkara itu kepada satu tarikh yang akan ditetapkan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak dalam kes itu hari ini.

Panel itu yang termasuk Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Hasan Lah mendengar permohonan yang dibawa bekas pegawai Perkim Raimi Abdullah dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Mereka merayu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada Januari tahun lepas untuk mengembalikan kes Siti Hasnah Vangarama Abdullah ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk didengar.

Pada 4 Ogos, 2010, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membatalkan kes Siti Hasnah selepas menetapkan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengar kesnya dan perkara mengenai beliau kerana ia semata-mata untuk Mahkamah Syariah.

Dalam saman pemulanya yang difailkan pada 23 Dis 2009, Siti Hasnah, 29, memohon satu pengisytiharan bahawa Raimi dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang secara salah menyebabkan beliau menjalani proses penukaran agama semasa berumur tujuh tahun pada 1989.

Dalam afidavit menyokong permohonannya, ibu kepada tiga anak itu mendakwa beliau ditempatkan di rumah anak-anak yatim Ramakrishna semasa beliau dibawa Raimi kepada Kadi Bandaraya Pulau Pinang untuk berikrar mengenai pegangannya dan meninggalkan agama Hindu dan memeluk Islam.

Beliau mendakwa tindakan perayu untuk mengarahkannya mengucap dua kalimah syahadah pada 28 Dis 1989 adalah salah di sisi undang-undang.

Siti Hasnah berkata beliau tidak memahami kandungan dan makna perkataan dalam Sijil Akuan Masuk Islam yang dibaca, diucapkan dan ditandatangani, selain mendakwa pada usia tujuh tahun, beliau tidak mempunyai pilihan kecuali mengikut
arahan defendan untuk mengucap kalimah syahadah.

Dalam prosiding hari ini, peguam Tuan Zubaidah Tuan Muda yang mewakili Raimi berkata Siti Hasnah sudah menjadi orang Islam pada 1983, memandangkan ibu bapanya memeluk Islam di Pahang bersama-sama lima anak-anak mereka termasuk Siti Hasnah yang pada masa itu berumur setahun tiga bulan.

Tuan Zubaidah berkata Siti Hasnah telah berikrar mengenai pegangannya di depan Kadi Bandaraya Pulau Pinang pada 28 Dis 1989 untuk mengesahkan secara rasmi pertukaran agamanya pada 1983 berikutan ibu bapanya telah menukar agama.

Tuan Zubaidah berkata ibu dan bapa Siti Hasnah masing-masing telah meninggal dunia pada 1989 dan 2004 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam.

Oleh itu, beliau berkata perkara mengenai Siti Hasnah sepatutnya didengar Mahkamah Syariah.

Jannu Babjan, peguam Majlis Agama Islam Pulau Pinang berhujah bahawa Siti Hasnah telah menjalani proses untuk berikrar mengenai pegangannya pada 1989 kerana sijil akuan masuk Islam tidak dikeluarkan kepada kanak-kanak apabila ibu bapa memeluk Islam.

Beliau berkata Siti Hasnah dan dua lagi adik beradiknya ditempatkan di rumah anak-anak yatim Ramakrishna selepas keluarga mereka yang berpindah dari Rompin, Pahang ke Pulau Pinang menghadapi masalah.

Jannu berkata kanak-kanak itu dipindahkan dari rumah anak yatim itu dan diletakkan di bawah jagaan Raimi selepas seorang daripada pegawai Pejabat Agama Islam daerah Kepala Batas memaklumkan bahawa kanak-kanak itu adalah orang Islam.

Peguam Siti Hasnah, Gooi Hock Seng berhujah bahawa kes anak guamnya tidak termasuk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. – BERNAMA

Sumber daripada

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *