Home » Langit Terbuka » Mahkamah Syariah N. Sembilan berjaya selesaikan 4,130 kes

Mahkamah Syariah N. Sembilan berjaya selesaikan 4,130 kes

Kerajaan Negeri Sembilan memberi sumbangan sebanyak RM100,000 kepada program Bantuan Guaman Syarie Negeri Sembilan sebagai cerminan komitmen serius kerajaan bagi memastikan rakyat di negeri ini dapat dibantu. – Foto Awani

SEREMBAN – Mahkamah Syariah Negeri Sembilan berjaya menyelesaikan sebanyak 4,130 kes atau 59 peratus daripada keseluruhan 7,000 kes yang didaftarkan di mahkamah itu tahun lepas, kata Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan Abas Nordin.

Beliau berkata bagaimanapun bagi tempoh Januari hingga 31 Ogos lepas, sebanyak 5,551 kes didaftarkan merangkumi kes cerai, jenayah dan faraid dengan 57 peratus atau 3,171 kes telah diselesaikan.

“Kita menjangkakan sehingga 31 Disember ini, terdapat peningkatan jumlah kes sehingga lebih 8,000 kes. Ia bermula dengan kes cerai yang akan ‘beranak’ lagi maksudnya timbul kes tuntutan nafkah edah, tuntutan nafkah anak, kemudian mutaah, hak jagaan anak dan juga tuntutan harta sepencarian.

“Daripada satu kes cerai itu, dia akan jadi enam kes sebenarnya. Ini yang melibatkan pertambahan kes tetapi ini lain daripada kes jenayah dan kes faraid,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bantuan Guaman Syarie Negeri Sembilan (aNSar) di sini, hari ini (27 September).

Majlis berkenaan dirasmikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Datuk Muhammad Abdullah.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Negeri Sembilan Datuk Hanif Hassan.

Dalam pada itu, Abas turut mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya diwujudkan tiga mahkamah syariah khas – Mahkamah Khas Hadanah, Mahkamah Khas Nafkah dan Mahkamah Khas Penguatkuasaan – seperti mana yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bagi mempercepatkan proses penyelesaian kes.

Sementara itu, mengenai program berkenaan, Aminuddin berkata aNSar diwujudkan hasil cetusan fikiran Tuanku Muhriz bagi memberi bantuan guaman kepada golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan dengan sifar bayaran yuran guaman.

“Ini menunjukkan keprihatinan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan terhadap rakyat di negeri ini yang telah mencetuskan fikiran dan cadangan untuk mewujudkan aNSar.

“Diharap peguam syarie yang terlibat dapat memberikan khidmat yang terbaik agar aNSar mencapai objektifnya,” katanya sambil menambah bahawa Bantuan Guaman Syarie Negeri Sembilan merupakan yang pertama seumpamanya diwujudkan di negara ini.

Dalam pada itu, menteri besar berkata kerajaan negeri turut memberi sumbangan sebanyak RM100,000 kepada aNSar sebagai cerminan komitmen serius kerajaan bagi memastikan rakyat di negeri ini dapat dibantu dalam pengendalian kes syariah dan pelaksanaannya dapat dilakukan segera.

Terdapat 250 peguam syarie berdaftar di Negeri Sembilan setakat ini, dan daripada jumlah itu, 60 daripadanya berkhidmat di negeri ini manakala baki, berkhidmat di luar.—Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *