Home » Langit Terbuka » MAIWP salur RM 2.1 juta dana kepada 40 NGO Islam Malaysia

MAIWP salur RM 2.1 juta dana kepada 40 NGO Islam Malaysia

Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussein Abdul Kadir (kanan) berkata, pengagihan dana tersebut adalah bagi membiayai program dan aktiviti tahunan NGO -NGO berkenaan.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 14 Mei menyalurkan sumbangan lebih RM2.1 juta kepada 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Malaysia.

Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussein Abdul Kadir berkata pengagihan dana berkenaan adalah bagi membiayai program dan aktiviti tahunan NGO itu yang memfokuskan program keagamaan seperti dakwah, pendidikan dan kebajikan kepada masyarakat sepanjang tahun ini.

“Kita pilih 40 NGO yang akan menjadi rakan strategik kepada MAIWP dalam usaha menggerak langkah berdakwah bagi menyampaikan amanah Allah SWT kepada masyarakat Islam di negara ini melalui program-program keagamaan dan kebajikan yang dijalankan.

“Kita harapkan mereka mengadakan program-program yang berkesan, mereka bebas untuk mengutarakan sebarang program dan aktiviti, kita tidak akan tapis dan tidak akan mengehadkan mana-mana program.

Tetapi oleh kerana mereka ialah NGO Islam, program yang dilakukan perlulah menepati sasaran yang diharapkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Dana Pembiayaan Program kepada NGO Islam Malaysia di sini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang bertindak sebagai penyelaras bagi memantau dan menyelaraskan setiap program serta aktiviti yang dianjurkan NGO terlibat.

Syed Hussein berkata, pengagihan dana tersebut adalah berbeza kepada setiap NGO bergantung kepada program yang diadakan dan selepas enam bulan NGO itu perlu memaklumkan perjalanan dan keberkesanan program mereka kepada MAIWP.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz berharap NGO berkenaan dapat melaksanakan tugas dan peranan dengan baik dan pihaknya akan menyelia segala program yang dianjurkan NGO berkenaan dengan telus.

Dalam perkembangan lain, MAIWP menyarankan NGO Islam menyantuni artis sebagai langkah mendekati masyarakat dalam menyebarkan ajaran Islam memandangkan mereka mempunyai pengaruh dan peminat yang ramai.

“Mungkin boleh diadakan majlis-majlis keraian dengan artis, kerana kita tahu mereka mempunyai pengikut yang ramai di laman sosial, dan keberkesanan dakwah mungkin lebih meluas,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *