Home » Langit Terbuka » MAIWP tekad terus perkukuh integriti institusi agama

MAIWP tekad terus perkukuh integriti institusi agama

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bertekad untuk terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan dalam usaha memperkukuh integriti dan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan institusi Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Pengerusinya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, tindakan itu termasuk mengkaji dari semasa ke semasa keperluan penambahbaikan terhadap undang-undang, peraturan dan garis panduan sedia ada di samping memastikan aspek penguatkuasaan dilaksanakan secara berkesan.

Sehubungan itu, ujar beliau, agensi itu menyambut baik cadangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pewujudan undang-undang khusus bagi memperkukuh tadbir urus dan pengurusan kewangan masjid serta surau.

“MAIWP komited untuk memastikan tadbir urus institusi masjid dan surau sentiasa berada pada tahap terbaik, telus dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Syed Kamarulzaman, untuk makluman, MAIWP sememangnya telah mempunyai peruntukan undang-undang dan mekanisme kawal selia sedia ada berkaitan pengurusan masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, ia termasuk peruntukan di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] khususnya Bab VII berkaitan masjid.

Peruntukan itu, jelasnya, turut melibatkan Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019.

Selain itu, ujar beliau, terdapat Garis Panduan Kewangan Masjid dan Surau Wilayah-Wilayah Persekutuan dan Garis Panduan Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Surau) 2023 serta pemantauan melalui Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau.

Laporan media pada 28 Mei tahun lalu menyatakan, SPRM mencadangkan majlis agama negeri mewujudkan undang-undang khusus untuk mentadbir pengurusan kewangan bagi masjid dan surau yang dikesan terlalu mudah diseleweng oleh ahli jawatankuasa yang dilantik.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, isu pengurusan dana dan kewangan di rumah ibadat sebenarnya perlu diberi lebih perhatian kerana banyak laporan mengenai salah laku dan penyelewengan diterima oleh SPRM.

Menurutnya, dengan kewujudan undang-undang khas itu, isu penyelewengan dana masjid dan surau boleh diselesaikan kerana adanya peraturan dan pemantauan khusus oleh majlis agama setiap negeri. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *