Home » Langit Terbuka » Majlis agama negeri bantu 6 golongan ketika PKP

Majlis agama negeri bantu 6 golongan ketika PKP

Petugas barisan hadapan antara yang disantuni oleh Majlis Agama Islam Negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan. - Foto Malay Mail

KUALA LUMPUR – Lebih RM426 juta bantuan COVID-19 disalurkan oleh pihak majlis agama Islam negeri dan agensi mengurus zakat sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac hingga 27 Julai lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meluluskan bantuan berjumlah RM45.653 juta dalam tempoh sama kepada enam kategori penerima termasuk barisan petugas hadapan.

“Kumpulan sasar yang menerima bantuan ialah asnaf, golongan terjejas, barisan petugas hadapan, pelajar, badan bukan kerajaan (NGO) dan gelandangan.

“Antara bentuk bantuan adalah Bantuan Zakat Khas tambahan RM500 kepada 24,196 asnaf berjumlah RM12 juta.

“MAIWP juga mempercepatkan penyaluran bantuan kewangan bulanan pada bulan pertama PKP diumumkan, ” katanya pada 4 Ogos.

Ahmad Marzuk berkata lagi, bagi mereka yang terjejas pendapatan akibat PKP, MAIWP menyediakan Bantuan Zakat Kecemasan COVID-19 yang berterusan bagi 16,776 penerima,

Katanya, MAIWP turut mengagihkan bantuan makanan harian kepada barisan petugas hadapan, menyalurkan bantuan kewangan bagi peralatan perubatan kepada tujuh hospital dan bantuan pakaian perlindungan peribadi (PPE) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Sementara itu, Ahmad Marzuk menambah, Rang Undang-Undang Wakaf Wilayah Persekutuan dijangka dibentang di Parlimen pada Disember ini bagi memperkasakan institusi itu.

Apabila diluluskan, ia hanya mempunyai kuasa di peringkat Wilayah Persekutuan dan tidak memberi kesan kepada negeri kecuali enakmen negeri dipinda.

“Dalam pembangunan tanah wakaf ini, kita masih dalam perbincangan untuk bekerjasama dengan negeri yang mana ia akan menjadi lebih jelas membabitkan pelaksanaan libat urus dengan negeri selepas rang undang-undang itu dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata, Yayasan Wakaf Malaysia akan mewujudkan Tabung Wakaf Malaysia untuk capaian kutipan lebih menyeluruh merangkumi sektor kerajaan, korporat dan masyarakat.

“Pihak yayasan dan MAIWP giat memperkasakan medium kutipan wakaf tunai bagi memudahkan orang ramai berwakaf dan digunakan bagi tujuan pembangunan hartawan wakaf.

“Projek wakaf pertama MAIWP ialah tanah wakaf lot 168 dan 169 di Jalan Perak di sini yang dibangunkan bagi tujuan komersial dengan MAIWP mendapat pulangan RM56.6 juta sepanjang dipajak bagi tempoh 25 tahun, ” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *