Home » Citra Yadim » Majlis Induksi dan Usrah Kepimpinan Majlis Pimpinan Universiti RSY Lembah Klang

Majlis Induksi dan Usrah Kepimpinan Majlis Pimpinan Universiti RSY Lembah Klang

PUTRAJAYA – Majlis Induksi dan Usrah Kepimpinan Majlis Pimpinan Universiti Rakan Siswa YADIM (RSY) Lembah Klang telah berlangsung pada 18 Mei bertempat di ibu pejabat YADIM di Putrajaya.

Program anjuran Bahagian Kepimpinan Muda (KEMUDA) YADIM ini bertujuan memperluas jaringan ejen dakwah bagi memastikan kelestarian kepimpinan dalam kalangan pimpinan RSY, di samping meningkatkan kualiti kepimpinan dan pengurusan organisasi agar selari dengan Aspirasi Malaysia MADANI.

Seramai 30 orang pimpinan RSY hadir menyertai program tersebut yang melibatkan wakil daripada beberapa institusi pengajian tinggi sekitar Lembah Klang, antaranya Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Islam Selangor.

Program dimulakan dengan sesi taklimat dan taaruf yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Bahagian KEMUDA, Encik Ridhwan Hussin bersama para peserta yang hadir.

Seterusnya, slot Usrah Kepimpinan bertemakan “Aulawiyat RSY” telah dikendalikan oleh Pengarah Bahagian KEMUDA, Ustaz Ab Razak Aripin. Dalam pengisiannya, beliau menekankan kepentingan memahami realiti dan pemikiran Generasi Z dalam konteks sosial, budaya serta digital bagi memastikan pendekatan dakwah yang lebih relevan dan berkesan.

Beliau turut menggalakkan budaya dialog ilmu yang terbuka dan berfakta selaras dengan prinsip keadilan, akhlak serta adab dalam penyampaian mesej dakwah. Pengisian tersebut juga memberi penekanan kepada usaha melahirkan agen dakwah berjiwa MADANI yang mampu berinteraksi secara positif dengan Generasi Z tanpa bersikap menghukum atau meminggirkan golongan tersebut.

Turut hadir menjayakan program ini ialah para pegawai daripada Unit Institusi Pengajian Tinggi KEMUDA YADIM. Program ini diharap dapat memperkukuh jaringan kepimpinan RSY serta melahirkan barisan pemimpin muda yang berdaya saing dan berwibawa dalam meneruskan agenda dakwah di peringkat institusi pengajian tinggi.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *