Home » Langit Terbuka » Majlis Tahfiz Negara dilancar suku pertama tahun ini

Majlis Tahfiz Negara dilancar suku pertama tahun ini

Kenyataan Tunku Mahkota Johor di Facebook tentang keperluan penubuhan Majlis Tahfiz Negara - Foto Facebook

CAMERON HIGHLANDS – Majlis Tahfiz Negara yang ditubuhkan untuk menambah baik institusi tahfiz dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Katanya, sebelum majlis itu dilaksanakan, satu program muzakarah akan diadakan dengan mengumpul semua pengelola sekolah tahfiz berdaftar serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam mengendalikan institusi berkenaan.

“Muzakarah itu kita harap akan dapat menyiapkan satu resolusi untuk mewujudkan Majlis Tahfiz Negara,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam catatan di laman sosial Facebook rasminya semalam, yang menyatakan sudah masanya langkah menubuhkan Majlis Tahfiz Negara kerana bilangan sekolah tahfiz swasta semakin bertambah.

Tunku Ismail juga berharap supaya proses pendaftaran sekolah tahfiz dapat dipercepatkan bagi memastikan bangunan sekolah tahfiz selamat dan mengikut piawaian keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Mujahid berkata, majlis itu sebagai platform untuk membincangkan mengenai lima teras iaitu undang-undang dan penguatkuasaan, memperkenal model institusi tahfiz yang diiktiraf, memantapkan kurikulum pendidikan tahfiz yang sesuai dengan pendidikan arus perdana, memperkasa tadbir urus institusi tahfiz, mewujudkan sistem pengiktirafan dan pensijilan institusi tahfiz.

“Kita ada dasar pendidikan tahfiz negara… kita tahu tahfiz ini banyak sambutan, dia tumbuh bagai cendawan, sebab itu kita nak lihat dari sudut keselamatan, kokurikulum dan lebih penting adalah pembelaan kepada pelajar, guru dan juga ibu bapa yang hantar anak-anak (di tahfiz),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pindaan Seksyen 97 Akta 505 Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 (Wilayah Persekutuan) adalah bertujuan memperluaskan kuasa dalam mengawal selia sekolah agama Islam.

“Apabila akta ini dipinda kita boleh mengambil tindakan kepada institusi tahfiz yang tidak berdaftar kerana selama ini kita tidak ada kuasa untuk berbuat demikian,” katanya.

Mujahid turut mengingatkan pengusaha institusi pengajian itu di seluruh negara untuk berdaftar bagi memastikan mereka tidak ketinggalan daripada menerima bantuan yang diperuntukkan kepada institusi tahfiz menerusi Belanjawan 2019.

Katanya, bantuan itu antaranya untuk penambahbaikan infrastruktur agar pusat pengajian berkenaan mengikut spesifikasi keselamatan yang telah ditetapkan oleh JBPM.

“Kita bantu dari segi infrastruktur, lepas itu kita ada undang-undang untuk pantau supaya mereka menepati syarat pendaftaran, selepas itu baru kita bagi peruntukan tambahan,” katanya.

Bercakap mengenai lawatan itu hari ini, Mujahid berkata lawatan bersempena program ziarah rahmah itu membabitkan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan tujuan untuk menziarah dan menyantuni penduduk Orang Asli di kampung berkenaan.

“Saya rasa perkampungan Orang Asli ini paling moden, saya menziarah beberapa rumah penduduk di sini, mereka amat mesra dan menerima kunjungan kami,” katanya dan menambah perkampungan itu mempunyai 848 penduduk dengan 268 daripadanya beragama Islam. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *