Home » Langit Terbuka » Malaysia bangga pencapaian Tabung Haji

Malaysia bangga pencapaian Tabung Haji

Perdana Menteri berkata, jemaah haji Malaysia antara yang paling beruntung berbanding jemaah haji negara lain kerana Tabung haji memberi khidmat layanan dan urusan haji dengan lebih teratur yang diuruskan dari awal hingga akhir. - Foto Malaysian Reserve

SEPANG – Malaysia bangga menerima pujian dan pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi dan negara-negara Islam atas pencapaian Lembaga Tabung Haji (TH) yang menguruskan ibadah haji jemaah negara dengan baik, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika berucap pada majlis selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bagi musim haji 1440/2019 di Kompleks TH Sepang hari ini, Perdana Menteri berharap TH terus komited dalam meningkatkan tahap perkhidmatan.

“Ini termasuk dari segi pengurusan haji, simpanan dan pelaburan agar ia sentiasa berada pada tahap yang cemerlang dan menjadi contoh kepada negara Islam lain di seluruh dunia,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, jemaah haji Malaysia antara yang paling beruntung berbanding jemaah haji negara lain kerana TH memberi khidmat layanan dan urusan haji dengan lebih teratur yang diuruskan dari awal hingga akhir.

Dr Mahathir turut berpesan kepada jemaah haji Malaysia supaya mengikut segala nasihat dan panduan kesihatan serta amalan pemakanan yang disarankan oleh TH dan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya tahap kesihatan sentiasa baik untuk melaksanakan ibadat dengan sempurna.

“Semasa di Tanah Suci nanti, doakanlah agar negara kita Malaysia terus aman dan sejahtera. Hanya dengan keamanan, kita semua dapat melaksanakan ibadat menurut syariat yang dituntut oleh Allah SWT dengan tenang tanpa rasa bimbang atau takut,” katanya lagi.

Beliau difahamkan, sudah lebih 90 peratus jemaah haji Malaysia berada di Makkah sehingga hari ini dan tinggal beberapa sahaja lagi penerbangan.

Pada majlis hari ini, 483 jemaah haji akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.20 petang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah – BERNAMA

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *