Home » Langit Terbuka » Malaysia diancam gempa bumi, tsunami?

Malaysia diancam gempa bumi, tsunami?

Pensyarah Jabatan Geologi Universiti Malaya, Prof. Madya Mustaffa Kamal Shuib berkata, Sabah merupakan negeri paling berisiko tinggi mengalami gempa kerana banyak titik gempa telah direkodkan di Ranau, Kundasang, Tawau, Gunung Kinabalu dan Lahad Datu selain di Sandakan

KUALA LUMPUR – Suatu ketika dahulu, Malaysia dianggap bebas daripada ancaman gempa bumi dan tsunami, namun fakta itu sudah tidak tepat malah kini negara dikesan berisiko dilanda bencana berkenaan berikutan berada berhampiran dalam zon aktif pertembungan plat bumi.

Beberapa kawasan di negeri khususnya Sabah dikategorikan amat berisiko tinggi dengan ancaman gempa bumi selain Pahang dan Negeri Sembilan yang direkodkan mengalami gegaran manakala negeri di pesisiran pantai Barat Daya dari Perak sehingga Perlis be­risiko tinggi dilanda tsunami.

Ini kerana, negara terkesan dengan proses pertembungan plat dari arah barat membabitkan Lautan Indo-Australia yang menghimpit kerak bumi Sumatera, Indonesia dan Semenanjung Malaysia manakala dari Timur berpunca daripada plat Filipina dan Pasifik menumpu ke arah Sabah dan Asia Tenggara.

Senario itu secara tidak langsung telah menghasilkan tekanan kepada kerak bumi di bawah Malaysia dan tenaga yang terkumpul perlu dilepaskan cepat melalui pecahan-pecahan kecil pada kerak bumi sekali gus mengakibatkan zon-zon lemah seperti sesar lama kembali aktif.

Sebaik sahaja sesar lama kembali aktif, gelinciran akan berlaku sekali gus menghasilkan gempa bumi yang akan menjuruskan berlakunya tanah runtuh selain tsunami.

Pensyarah Jabatan Geologi Universiti Malaya, Prof. Madya Mustaffa Kamal Shuib berkata, Sabah merupakan negeri paling berisiko tinggi mengalami gempa kerana banyak titik gempa telah direkodkan di Ranau, Kundasang, Tawau, Gunung Kinabalu dan Lahad Datu selain di Sandakan.

“Kita berjaya mengenal pasti beberapa sesar di kawasan terbabit yang bakal menjadi punca gempa bumi pada masa akan datang. Ini kerana Sabah terletak berhampiran zon pertembungan plat-plat di Sulawesi, Indonesia serta Filipina. Keadaan itu menyebabkan Sabah dihimpit daripada arah selatan dan timur utara

“Namun kalau melihat kedudukan geografi Semenanjung, ia berada agak jauh daripada zon aktif pertembungan antara plat yang menghasilkan gempa bumi kerana Semenanjung berada di pinggir kawasan zon gempa dan kesannya amat lemah,” katanya.

Malah jelas Mustaffa Kamal, Sabah pernah dilanda gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter di Gunung Kinabalu pada 2015 sehingga mengakibatkan 17 kematian ekoran tanah runtuh, selain itu di Tawau dan Lahad Datu juga pernah merekodkan kejadian dengan gegaran 6.0 skala Richter.

“Gempa bumi seperti di Gunung Kinabalu itu akan membentuk kesan susulan seperti batuan tidak stabil terutamanya di kawasan cerun, maka kejadian tanah runtuh boleh terjadi pada masa akan datang sehingga mengorbankan nyawa,” ujarnya.

Ditanya sama ada kemungkinan skala gempa bumi akan me­ningkat di Sabah susulan beberapa kejadian baru-baru ini termasuk tsunami di Palu, Indonesia, beliau menjelaskan, Sabah boleh mengalami gempa bermagnitud sederhana dan pantai timur Sabah pula berisiko ancaman tsunami.

Di samping itu, mengulas tentang risiko di Semenanjung, beliau memberitahu, titik gempa turut direkodkan di Jerantut dan Bukit Tinggi, Pahang serta Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Titik gempa di Bukit Tinggi, wujud disebabkan kehadiran sesar aktif yang dinamakan sesar Bukit Tinggi malah pernah menghasilkan gempa berskala kecil sekali gus mengakibatkan sesar-sesar besar dan lama diaktifkan semula.

“Sementara itu, kawasan di pantai Barat Daya dari Perlis hingga ke utara Perak pula terdedah dengan ancaman tsunami, tetapi pihak berkuasa mengambil langkah memasang alat penggera bagi memastikan amaran dapat dikeluarkan kepada penduduk berisiko,” ujarnya. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *