Home » Langit Terbuka » Malaysia Kekal Kedudukan Peneraju Ekonomi Islam Global

Malaysia Kekal Kedudukan Peneraju Ekonomi Islam Global

KUALA LUMPUR: Malaysia mendominasi bidang kewangan Islam, makanan halal dan pelancongan mesra Muslim, sekali gus mengekalkan kedudukannya di tangga pertama sebagai peneraju ekonomi Islam global bagi 2025.

Laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2024/2025 melaporkan bahawa Malaysia mendahului hampir semua sektor utama kecuali fesyen sopan.

Mengikut sektor, Malaysia mendominasi bidang kewangan Islam, makanan halal dan pelancongan mesra Muslim, manakala Malaysia bersama United Kingdom (UK) berkongsi kedudukan utama dalam sektor media dan rekreasi.

“Dalam sektor fesyen sopan, Indonesia mengatasi negara lain untuk menduduki tempat pertama, manakala Malaysia berada di kedudukan kedua.

“Arab Saudi, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain melengkapkan kelompok lima negara teratas yang kekal stabil, didorong oleh penerbitan sukuk pada tahap rekod, pertumbuhan pesat dana Islam dan peluasan perjanjian perdagangan halal,” menurut laporan itu.

Laporan itu turut mengenal pasti tiga faktor utama yang membezakan negara peneraju ekonomi Islam global, iaitu penyelarasan institusi, kedalaman pasaran modal dan kepantasan inovasi teknologi.

“Malaysia misalnya dilihat menonjol menerusi rangkaian pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Mengikut laporan itu, Singapura dan United Kingdom kekal sebagai satu-satunya negara bukan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berada dalam kelompok 15 terbaik, sekali gus mencerminkan kekuatan rangka kerja kawal selia serta inovasi yang dimiliki kedua-dua negara itu.

“Antara negara yang mencatat peningkatan ketara ialah Pakistan yang melonjak tiga anak tangga untuk memasuki kelompok 10 terbaik, selain Senegal yang meningkat 18 anak tangga ke kedudukan ke-25 hasil pembaharuan kawal selia dan pembiayaan perdagangan halal berorientasikan eksport,” katanya.

Laporan itu menyimpulkan bahawa kepimpinan mampan dalam ekonomi Islam global bergantung kepada penyelarasan standard halal, pengukuhan modal patuh syariah serta penerapan teknologi digital dalam pensijilan, pengedaran dan pembabitan pengguna.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, berkata pencapaian itu membuktikan dasar dan pendekatan Kerajaan MADANI yang menitikberatkan kestabilan politik, tatakelola baik, keyakinan pelabur serta pembangunan inklusif terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, kedudukan Malaysia yang mengatasi beberapa negara Islam utama dunia turut mencerminkan kekuatan sistem kewangan Islam, industri halal, inovasi serta ekosistem pembangunan negara yang diyakini masyarakat global.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/05/1564858/malaysia-kekal-kedudukan-peneraju-ekonomi-islam-global

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *