Home » Langit Terbuka » Malaysia perkenal akreditasi iktiraf penginapan patuh Syariah

Malaysia perkenal akreditasi iktiraf penginapan patuh Syariah

Malaysia mengakui potensi sektor pelancongan Islam, terutama pelancong dari Timur Tengah, adalah penyumbang terbesar dalam industri pelancongan negara. - Foto Albalad.co

PUTRAJAYA – Malaysia memperkenalkan inisiatif ‘Pengiktirafan Premis Penginapan Pelancongan Mesra Muslim’, satu bentuk akreditasi bagi mengiktiraf penginapan yang mematuhi syariah bagi pelancong.

Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata akreditasi yang dilaksanakan oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC) adalah pertama seumpamanya di dunia yang diusahakan oleh agensi kerajaan.

“Pelaksanaan ‘Pengiktirafan Premis Penginapan Pelancongan Mesra Muslim’, adalah inisiatif penting untuk memperkasa industri pelancongan, terutama segmen pelancongan Islam untuk memulakan pembangunan industri ke arah fasa seterusnya,” katanya.

Mohamaddin berkata, Malaysia mengakui potensi sektor pelancongan Islam, terutama pelancong dari Timur Tengah, adalah penyumbang terbesar dalam industri pelancongan Malaysia.

“Sektor pelancongan Islam adalah segmen pasaran berpotensi tinggi. Malaysia telah berada di kedudukan teratas selama sembilan tahun berturut-turut dalam Indeks Pelancongan Muslim Global yang mengkaji pola dan trend pelancongan Islam di seluruh dunia.

“Pada tahun 2018, Malaysia mencatatkan kira-kira 5.2 juta kedatangan pelancong Islam. Potensi besar 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia harus dilihat sebagai peluang oleh semua pihak yang terbabit dengan industri pelancongan.

“Indeks itu juga menganggarkan bahawa terdapat 160 juta pelancong Muslim menjelang 2020. Angka ini dijangka meningkat sebanyak 230 juta menjelang tahun 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah ITC, Datuk Seri Abdul Khani Daud seperti dilapor The Star berkata, akreditasi itu dibangunkan bersama Sirim Berhad.

Beliau berkata, buat masa ini 12 hotel telah menerima pengiktirafan berkenaan.

Terdapat tiga peringkat akreditasi; platinum, emas dan perak, berdasarkan tahap pematuhan kepada piawaian yang telah ditetapkan.

Di antara kriteria untuk memenuhi piawaian ini termasuk berdekatan dengan masjid dan tarikan Islam lain, kemudahan solat di dalam bilik seperti sejadah dan tanda arah kiblat, restoran mempunyai sijil halal, gimnasium diasingkan dan kolam renang untuk wanita. -The Star

 

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *