Home » Langit Terbuka » Malaysia pupuk nilai Islam menerusi Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah

Malaysia pupuk nilai Islam menerusi Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah

Nilai Islam menerusi Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah diterjemahkan menerusi tindakan seseorang dan personaliti hebat, yang sekaligus akan membentuk model negara Islam berbilang kaum yang boleh diteladani, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Malaysia memupuk kebudayaan dan nilai-nilai Islam menerusi mesej rahmatan lilalamin dan maqasid syariah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

“Ia diterjemahkan menerusi tindakan seseorang dan personaliti hebat, yang sekaligus akan membentuk model negara Islam berbilang kaum yang boleh diteladani dunia luar,” katanya semasa berucap di majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dalam ucapannya Fuziah turut mengalu-alukan kehadiran hakim dan semua 107 peserta dari 71 negara itu ke Majlis Tilawah tahun ini yang bertema ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’.

“Penyertaan dari pelbagai negara melambangkan sokongan serta galakan mereka terhadap kerajaan Malaysia, walaupun berada beribu batu jauhnya, di mana mereka masih sanggup menyertai acara berprestij ini.

“Menjadi harapan saya agar semua pihak mengambil peluang ini untuk mengenali Malaysia dengan lebih dekat, saling bertukar pandangan serta maklumat, saling menyelami kebudayaan antara satu sama lain, dan lebih penting, menghayati keindahan bacaan al-Quran,” tambahnya.

Fuziah berkata, pihak sekretariat turut menganjurkan beberapa siri lawatan kepada para peserta dan hakim sebagai sebahagian daripada acara untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia.

Pada majlis pembukaan hari ini empat peserta memperdengarkan bacaan al-Quran termasuk Harit Puang-Manee (Thailand), Mohammed Zalef Atiyah (Iraq), Man Mariyas (Kemboja) dan Mammadov Tural Ikhtiyar (Azerbaijan).

Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa akan berlangsung selama lima hari bermula malam ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka menutup majlis tilawah nanti. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *