Home » Langit Terbuka » Malaysia tak hantar jemaah, ibadah haji tahun ini untuk mereka di Arab Saudi sahaja

Malaysia tak hantar jemaah, ibadah haji tahun ini untuk mereka di Arab Saudi sahaja

Malaysia tidak menghantar jemaah haji tahun ini bagi menghormati keputusan kerajaan Arab Saudi yang memutuskan ibadah berkenaan hanya untuk mereka yang telah berada di negara tersebut sahaja. - Foto Kosmo

PUTRAJAYA- Kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadat haji bagi Musim Haji 1442H dihadkan hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hal ini disebabkan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi panggilan telefon daripada Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Abdelfattah Sulaiman Mashat berkenaan keputusan Kerajaan Arab Saudi bagi penglibatan jemaah haji daripada negara luar bagi Musim Haji 1442H.

“Makluman yang sama telah diterima oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammudin Hussein daripada rakan sejawatnya, Putera Faisal bin Farhan Al Saud. Kenyataan rasmi oleh Kerajaan Arab Saudi juga telah dikeluarkan tepat pukul 6.10 petang sebentar tadi,” katanya dalam kenyataan pada 12 Jun.

Zulkifli berkata, justeru, beliau mewakili kerajaan Malaysia ingin menyatakan bahawa Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442H sebagai akur serta menghormati keputusan kerajaan Arab Saudi itu.

Bagaimanapun, beliau akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dan terpilih untuk melaksanakan ibadah Haji bagi Musim Haji 1442H diuruskan dengan sebaiknya oleh Lembaga Tabung Haji, selaras dengan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Saya mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada Khadimul Haramain Raja Salman bin Abdulaziz dan kerajaan Arab Saudi yang sentiasa menjaga dan memelihara hubungan baik dengan Kerajaan Malaysia.

“Hal seperti ini akan menambahkan lagi keakraban hubungan dua hala antara dua negara yang sudah kukuh sejak sekian lamanya,” katanya.

Beliau pada masa sama memohon maaf kepada semua bakal jemaah haji yang amat cinta dan rindukan dua Tanah Suci kerana terpaksa menangguhkan ibadah Haji pada tahun ini.

Jelas beliau, keputusan ini sudah pasti amat berat dan sukar untuk diterima, namun tetap yakin dengan hikmah di sebalik keputusan tersebut.

“Sesungguhnya hifz al-nafs (memelihara nyawa) adalah salah satu daripada prinsip Maqasid Syariah yang sentiasa dijunjung oleh kerajaan Malaysia dalam mengambil sebarang keputusan.

“Saya menginsafi situasi yang sedang kita hadapi mutakhir ini sebagai sebuah ujian yang amat berat. Pun begitu, saya tetap yakin dengan doa dan munajat kita semua yang sudah pasti pandemik Covid-19 akan berlalu pergi dari kamus kehidupan kita, amin,” katanya. – Utusan Digital

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *