Home » Langit Terbuka » MANTAN KP JAKIM TOKOH UTAMA MAAL HIJRAH WILAYAH PERSEKUTUAN

MANTAN KP JAKIM TOKOH UTAMA MAAL HIJRAH WILAYAH PERSEKUTUAN

Penerima Anugerah Tokoh pelbagai kategori yang diperkenalkan pada sambutan Maal Hijrah 1444 hijrah peringkat Wilayah Persekutuan - Foto JAWI

KUALA LUMPUR – Mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, 69, diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Utama Maal Hijrah 1444 hijrah peringkat Wilayah Persekutuan hari ini.

Penganugerahan tersebut disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Wan Mohamad yang memegang jawatan Ketua Pengarah JAKIM dari tahun 2007 hingga 2011 masih bergiat aktif dalam pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan aktiviti sukarelawanan di dalam dan luar negara.

Beliau kini merupakan Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Selaku penerima Anugerah Tokoh Utama, Wan Mohamad akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM8,000, pakej umrah tajaan Tabung Haji Travel & Services, plak dan sijil.

Dalam majlis sama, Tan Sri Azman Hashim, 83, diumumkan sebagai Tokoh Korporat, Shah Kirit Kalkulal Govindji atau lebih dikenali dengan panggilan Bro Shah Kirit pula dianugerah Tokoh Pendakwah Mualaf manakala Mingu Matnoh, 61, diumum Tokoh Imam.

Mereka masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM4,000, serta plak dan sijil.

Kesemua penerima anugerah dipilih berdasarkan pencalonan yang diterima serta keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa penilaian mengikut kriteria dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Majlis pagi tadi turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail.

Antara pengisian majlis hari ini ialah Bual Bicara Khas Ma‘al Hijrah yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Luqman Abdullah dan Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dari Universiti Malaya. – AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *