Home » Langit Terbuka » MAQAM pilih 12 hakim tilawah al-Quran kebangsaan

MAQAM pilih 12 hakim tilawah al-Quran kebangsaan

Ketua Pengarah Jakim berkata, majlis itu bersifat jawatankuasa dianggotai oleh 10 orang yang pakar dalam bidang al-Quran, dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Yusof Noor. - Foto Tilawah

SEREMBAN – Pemilihan barisan 12 hakim bagi Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2019M dibuat melalui Majlis Al-Quran Malaysia (MAQAM) yang terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, majlis itu yang bersifat jawatankuasa dianggotai oleh 10 orang yang pakar dalam bidang al-Quran, dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Yusof Noor.

Katanya, ia bertanggung jawab memperkasakan bidang berkaitan al-Quran termasuk melatih hakim bagi tilawah al-Quran dan menghantar mereka menjadi hakim acara itu di peringkat antarabangsa serta mengukuhkan bakat qari dan qariah yang berpotensi.

“Kita berharap dapat menetapkan piawaian dalam tilawah al-Quran hingga menjadi standard antarabangsa.

“Selain itu, ia melatih hakim supaya mempunyai kompetensi tinggi hingga menjadi ikutan kepada negara-negara lain,” katanya kepada para pemberita di sini malam ini.

Menurutnya, tilawah al-Quran itu disertai oleh mereka yang terbaik selepas menang di peringkat negeri masing-masing.

“Jadi misi tilawah al-Quran peringkat kebangsaan ini ialah mencari yang terbaik dalam kalangan terbaik untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Cita-cita kita ialah supaya peserta menunjukkan mutu yang tinggi hingga menjadi tanda aras kepada negara-negara Islam lain,” ujarnya.

Mohamad Nordin berkata, ramai peserta yang mengambil bahagian datang dari intitusi pendidikan al-Quran seperti Darul Quran, sekolah tahfiz Kementerian Pendidikan dan institut al-Quran milik negeri-negeri.

Tambahnya, semua institusi berkenaan telah melahirkan banyak bakat baharu dalam bidang al-Quran yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *