KUALA LUMPUR – Masjid bukan sekadar tempat ibadah, malah perlu menjadi pusat pembangunan belia dan masyarakat, demikian antara inti pati utama yang dibincangkan dalam ‘Forum Transformasi Beliawanis Dalam Pengimarahan Masjid dan Surau’ sempena Majlis Pertemuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama kepimpinan dan belia/beliawanis masjid serta surau Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju pada 6 Mei.
Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Pengkaderan YADIM, Haji Mahadi Awang, mewakili badan dakwah ini sebagai panel dalam forum tersebut menegaskan bahawa kita bukan hanya mahu melahirkan anak muda yang celik dan bijak, malah perlu dibentuk dengan akhlak dan jati diri.
Beliau turut menyentuh mengenai kerangka Malaysia MADANI yang digariskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, yang sangat berkait rapat dengan pembangunan anak muda. Antaranya ialah nilai daya cipta yang menuntut golongan belia menjadi kreatif dan inovatif, selain nilai hormat yang perlu dipupuk sesama keluarga, masyarakat serta merentasi batas agama dan kaum.
Program anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ini menghimpunkan pelbagai agensi termasuk YADIM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri serta ABIM bersama wakil belia masjid bagi membincangkan peranan belia dalam memperkasakan institusi masjid agar lebih dekat dengan masyarakat serta mesra anak muda.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan telah hadir menyempurnakan majlis. Turut hadir, Pengarah YADIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Puan Siti Zaiton Bachok.
Antara perkara penting yang ditekankan melalui program ini ialah kepentingan menyediakan ruang dan peluang kepada anak muda untuk terlibat secara aktif dalam pengurusan serta program masjid. Selain itu, pendekatan santai, kreatif dan mesra belia juga dilihat penting bagi menarik lebih ramai golongan muda mendekati institusi masjid.



KOMEN