MELAKA TENGAH – YADIM sentiasa komited dalam menyokong usaha pembangunan masyarakat yang berakhlak mulia melalui pelbagai program dakwah dan pendidikan.
Sejajar dengan hasrat tersebut, YADIM Negeri Sembilan dan Melaka telah menganjurkan program YADIM Sejahtera: Bicara Dakwah: Masjid Mesra MADANI Siri 4 di Madrasah Al-Mutmainnah, Taman Peringgit Jaya pada 10 Jun.
Program yang menghimpunkan penduduk setempat serta jemaah masjid ini menampilkan pengisian bertajuk “Maklumat Tanpa Amanah: Berita Palsu Yang Boleh Menghancurkan Masyarakat” yang disampaikan oleh Ahli Zamalah YADIM, Ustaz Muhamad Firdaus Mohd Puad.
Dalam ceramahnya, beliau menjelaskan bahawa penyebaran berita palsu dan maklumat yang tidak disahkan semakin membimbangkan dalam era digital masa kini. Menurut beliau, sikap tergesa-gesa menyebarkan sesuatu maklumat tanpa menyemak kesahihannya boleh mengundang fitnah, mencetuskan salah faham serta menggugat keharmonian masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa Islam menuntut umatnya mengamalkan sikap tabayyun dan bertanggungjawab dalam menerima serta menyampaikan maklumat.
Program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan integriti dalam penyampaian maklumat, seterusnya melahirkan komuniti yang lebih beretika, berilmu dan bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial. Usaha sebegini juga diharap dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat MADANI yang sejahtera, harmoni dan berakhlak mulia.



KOMEN