PUTRAJAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Wanita Islam YADIM (MAWIM) Bil. 1/2026 telah berlangsung di Bilik Mesyuarat as-Syafie, Aras 4, Ibu Pejabat YADIM, Putrajaya pada 3 Julai dengan dipengerusikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa MAWIM YADIM Sesi 2026-2027, Profesor Ts Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain.
Mesyuarat ini membentangkan Terma Rujukan (TOR) jawatankuasa seterusnya membincangkan hala tuju dan perancangan strategik MAWIM 2026-2027 beserta cadangan program MAWIM yang akan datang.
Ahli Jawatankuasa MAWIM Sesi 2026-2027 diketuai Profesor Ts Dr. Zuriati, seorang pakar teknologi maklumat, rangkaian komputer dan keselamatan rangkaian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) , membariskan tokoh-tokoh wanita pelbagai kepakaran dan bidang, ketua agensi dan wakil badan bukan kerajaan seperti Datin Paduka Hajah Mastura Muhamad selaku Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Profesor Dr. Norhasmah Sulaiman (Profesor di UPM merangkap Ketua Wanita IKRAM), Dr. Zilal Saari (Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia) dan Dr. Zurina Muda (Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia merangkap Naib Presiden 6 HALUAN Malaysia).
Tidak ketinggalan ialah Dr. Nur Atika Hairi (Pensyarah Universiti Sekangor), Ustazah Nordiran Idris (Pengerusi Pertubuhan SALWA Malaysia), Hajah Mahanom Basri (Pengerusi Pertubuhan Anak Komuniti Keluarga Malaysia merangkap Ahli Jawatankuasa Pusat WADAH), Puan Masturah Abu Bakar (Pegawai Penasihat Dasar Kerajaan Negeri Selangor merangkap Ketua WARDA) dan Hajah Ghazilah Ghazalli (Ketua AWAN Kawasan Machang, Kelantan).
Lantikan daripada pelbagai latar belakang kepakaran dan bidang ini diyakini mampu memperkukuh peranan MAWIM sebagai platform pemerkasaan wanita Islam yang inklusif dan progresif dalam menyumbang idea serta merangka inisiatif dakwah, pendidikan, kekeluargaan, kepimpinan dan pembangunan masyarakat.
Turut hadir ialah Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita merangkap Setiausaha Jawatankuasa MAWIM YADIM, Haji Ahmad Saparudin Yusup,
Semoga perancangan dan agenda yang digariskan pada pagi ini mendapat keberkatan serta pematuhan gerak kerja yang impak demi pemerkasaan wanita, keluarga, dan ummah secara keseluruhannya.



KOMEN