Home » Citra Yadim » Memperkukuh Kefahaman Dan Sokongan Terhadap Golongan Mualaf

Memperkukuh Kefahaman Dan Sokongan Terhadap Golongan Mualaf

MELAKA – Program YADIM Sejahtera: Ceramah Cabaran Mualaf Masa Kini “Menghadapi Cabaran Menjaga Iman” telah diadakan pada 17 Mei di Dewan Balai Islam, Majlis Agama Islam Melaka.

Ia sebagai usaha memperkukuh kefahaman dan sokongan terhadap golongan mualaf dalam menghadapi cabaran kehidupan selepas memeluk Islam.

Program ini menghimpunkan golongan mualaf serta agensi dan pertubuhan berkaitan dalam usaha memperkasakan sokongan dakwah dan kebajikan kepada saudara baharu. Sebelum majlis perasmian penutup berlangsung, para peserta telah mengikuti ceramah bertajuk “Cabaran Mualaf Masa Kini” yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Melaka merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Melaka, SS Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil.

Ceramah tersebut menyentuh pelbagai cabaran yang dihadapi golongan mualaf termasuk aspek sokongan keluarga, pengukuhan akidah, tekanan sosial serta kepentingan bimbingan ilmu secara berterusan dalam memastikan mereka kekal istiqamah dalam Islam.

Majlis perasmian penutup kemudiannya telah disempurnakan oleh Pengarah YADIM Negeri Sembilan dan Melaka, Ustaz Abdul Halim bin Ismail yang turut menzahirkan komitmen YADIM dalam memperkukuh agenda dakwah dan penyantunan terhadap komuniti mualaf melalui pendekatan yang lebih dekat dan menyeluruh.

Sementara itu, SS Datuk Wira Haji Abdul Halim dalam program ini turut menyempurnakan sesi penyampaian Food Bank kepada mualaf sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan dan keperluan mereka.

Selain menjadi medium pengukuhan ilmu dan akidah, program ini turut memperkukuh hubungan silaturahim antara institusi dakwah, pertubuhan Islam dan komuniti mualaf dalam membina suasana sokongan yang lebih harmoni dan menyantuni.

Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan membimbing dan mendampingi golongan mualaf secara berterusan, di samping memperkukuh semangat ukhuwah dan kasih sayang dalam membina komuniti Islam yang lebih sejahtera dan inklusif.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *