KUANTAN – Lebih 100 Zamalah YADIM Negeri Pahang, sukarelawan, Rakan Siswa YADIM dan rakan strategik telah menyertai Bicara Dakwah: Program Pencerahan Fiqh Al-Watan dan Permukiman Zamalah YADIM Negeri Pahang pada 5 Julai.
Program di Kuantan ini merupakan kerjasama Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) dengan kerjasama YADIM Negeri Pahang yang bertujuan memperkasa peranan serta meningkatkan kefahaman ilmu Fiqh Al-Watan dalam kalangan agen dakwah YADIM Negeri Pahang. Melalui pengisian yang disampaikan, para peserta didedahkan dengan kepentingan memahami konsep Fiqh Al-Watan sebagai asas dalam membentuk masyarakat yang harmoni, cintakan negara serta berperanan aktif dalam usaha dakwah dan pembangunan ummah.
Ia telah disempurnakan oleh Pengarah YADIM Negeri Pahang, Ustaz Aizuddin Hakim Mohd. Yusof. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan harapan agar semua peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh serta mengaplikasikannya dalam gerak kerja dakwah dan khidmat kepada masyarakat.
Program ini menampilkan Pengarah Eksekutif IIDM, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Profesor Madya Dr. Amran Muhammad, sebagai penyampai utama. Beliau telah mengupas kepentingan penghayatan Fiqh Al-Watan dalam konteks semasa serta menjelaskan peranan agen dakwah dalam memelihara keharmonian masyarakat, memperkukuh nilai kenegaraan dan menyemarakkan semangat patriotisme berteraskan ajaran Islam.



KOMEN